BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil menenangkan keadaan selepas insiden anak saudaranya, Ahmad Dayyan rebah di atas pentas ketika siaran langsung Grand Finale Talk To My Manager, malam tadi.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tular itu.
Siti menegaskan, pihak keluarga mengetahui punca sebenar dan menafikan ia berpunca daripada masalah kesihatan, tekanan emosi atau keletihan seperti yang diperkatakan netizen.
“Sebagai ahli keluarga, kami tahu apa yang berlaku. Ia bukan disebabkan faktor kesihatan, komen-komen negatif atau kepenatan.
“Tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya ada hal-hal luar dugaan atau perkara yang sukar dijelaskan dengan akal, tetapi itulah hakikatnya,” tulisnya.
Siti turut menjelaskan keadaan Ahmad atau lebih mesra disapa Amad kini berada dalam keadaan stabil dan sihat.
Katanya, remaja berkenaan berada dalam keadaan baik sebelum program bermula namun kejadian itu berlaku secara tidak dijangka.
“Takdir berkata lain. Begitulah, setiap kita ada ujian tersendiri, apatah lagi dalam bidang ini yang penuh cabaran.
“Malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tempias, malah adiknya, Aisy juga turut merasai kesannya.
“Doakan agar kita semua dilindungi-Nya dan doakan juga kesejahteraan Amad,” tulisnya lagi.
Sejak malam tadi, beberapa video tular di media sosial memperlihatkan anak kepada penyanyi Siti Saerah, iaitu adik Siti Nurhaliza, kelihatan menahan kesakitan sebelum rebah di atas pentas sebelum menyanyikan lagu Cinta Kerana Cinta nyanyian asal Judika.
Kru produksi sempat menyambutnya sebelum keadaan menjadi lebih serius, dan persembahan berkenaan terpaksa ditangguh seketika.
Kenyataan Siti itu sekali gus diharap dapat menenangkan kebimbangan peminat dan menghentikan pelbagai andaian yang timbul susulan kejadian berkenaan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

