Belanjawan berbilion-bilion, awas, ‘ramai yang terliur’

Dari Penulis

BERBILION-BILION ringgit peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat lalu.

Nilainya RM470 bilion, sudah semestinya satu jumlah yang cukup besar. Ini adalah belanjawan sulung Kerajaan Persekutuan memasuki era Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dari projek itu ke projek ini, insiatif itu inisiatif ini, selenggara itu selenggara ini, semuanya terkandung dalam naskhah pengurusan kewangan negara bernama Belanjawan.

Dari pendidikan sehingga kepada kebajikan warga emas dan Orang Asli, pesawah, petani termasuklah anak muda, semuanya termaktub mendapat manfaat.

Inilah dia dokumen penting dalam menguruskan negara yang jika dilihat di atas kertas, alangkah cantiknya jika dapat disempurnakan atau dilunaskan dengan sebaik-baiknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

Walau bagaimanapun di sebalik angka berbilion-bilion ringgit ini, pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini, amat menggusarkan apabila 157 projek lewat jadual atau dikategorikan ‘sakit’ melibatkan 18 kementerian dikesan setakat 31 Disember 2024.

Berdasarkan jumlah tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 46 projek sakit.

‘Sisi gelap’ dalam LKAN ini sedikit sebanyak menggores kepercayaan ramai pihak terhadap institusi yang diberi tanggungjawab melaksanakan amanah-amanah perbendaharaan negara.

Itu belum lagi dengan isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sering dilaporkan saban masa melibatkan si penyakau yang lupa bahawa tindak-tanduknya itu turut memberi kesan kepada ramai pihak, terutama rakyat kebanyakan.

Dunia ini hanya sementara

Perkaitan-perkaitan ini perlu dihapuskan sehapus-hapusnya bagi membina negara yang sejahtera.

Amalan yang menjurus kepada penyalahgunaan kuasa cukup merugikan negara, tak kiralah berapa banyak bilion diumumkan kerajaan setiap kali menjelang Oktober di Dewan Rakyat.

Malulah Islam diletakkan sebagai Agama Persekutuan tetapi nilai ringgit menjadi pertaruhan masuk ke poket sendiri, tanpa memikirkan kesan selanjutnya.

Paling tidak pun, fikirlah, kenanglah, berotaklah, bahawa dunia ini hanya sementara, esok lusa ‘ke dalam’ jua.

Paling tidak pun, bak kata Greta Thunberg, ‘how dare you’, memberikan anak bini makan daripada sumber yang tidak sepatutnya.

Atau, paling tidak pun, malulah kepada diri sendiri yang nanti semuanya akan dipersoalkan di alam sana.

Tak terkecuali mereka yang berada dalam organisasi syarikat. Letakkanlah amanah dalam berorganisasi dengan bertanggungjawab.

Ingat akan kesannya, bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang di sekeliling kita, anak bini dan keluarga.

Bagi mereka ini mungkin seronok menyakau sana sini, nikmatnya hanyalah sementara. Fikir-fikirkan.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Amanah pertahan Sharon Teo, nafi calon ‘payung terjun’ di Permas

PARTI Amanah Negara (Amanah) mempertahankan pencalonan Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)...

More Articles Like This