Misteri pembunuhan hantu Hammersmith, salah sangka yang mengubah undang-undang

Dari Penulis

Pada musim sejuk tahun 1803, penduduk Hammersmith, sebuah perkampungan kecil di pinggir kota London, hidup dalam ketakutan akibat gangguan hantu. Ya, hantu!

Kebanyakan saksi menggambarkan sosok itu sebagai figur yang diselubungi kain putih besar. Ada juga yang mengatakan hantu itu kadangkala memakai kain seakan kulit anak lembu dan mempunyai mata besar yang berkilau.

Fenomena hantu itu telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk kerana ia didakwa bukan sekadar menjelma untuk menakutkan, tetapi juga menyerang manusia.

Dikatakan hantu itu bukan saja menyerang dan mengganggu penduduk, malah dilaporkan pernah mencekik seorang wanita mengandung berhampiran tanah perkuburan sehingga mangsa meninggal dunia akibat terkejut beberapa hari kemudian.

Dilaporkan, seorang pemandu pedati yang sedang membawa 16 penumpang turut panik apabila terserempak dengan hantu itu sehingga melarikan diri meninggalkan kuda, pedati dan kesemua penumpangnya.

“Saya sedang melalui tanah perkuburan antara pukul lapan hingga sembilan malam. Tiba-tiba seseorang muncul dari belakang batu nisan dan mencekik saya dengan kedua-dua tangannya. Rakan saya di hadapan mendengar bunyi pergaduhan lalu menjerit bertanya apa yang berlaku. Saya cuba menumbuk hantu itu dan terasa sesuatu yang lembut seperti mantel tebal,” cerita Thomas Groom, seorang pembuat bir yang menceritakan detik dia bertembung dengan hantu tersebut.

Penduduk kemudian beranggapan hantu itu mungkin roh seorang lelaki yang membunuh diri menyebabkan rohnya tidak tenteram. Namun tidak lama kemudian, ada yang percaya bahawa hantu itu sebenarnya manusia biasa yang menyamar dengan kain putih untuk menakut-nakutkan orang.

Maka, beberapa penduduk dengan bersenjatakan pistol mula membuat rondaan. Dalam satu kejadian, mereka hampir berjaya menangkap hantu itu, tetapi ia sempat melarikan diri, meninggalkan kain putihnya – bukti bahawa makhluk itu bukan roh, tetapi manusia.

Disangka Hantu

Pada malam 3 Januari 1804, seorang pegawai cukai berusia 29 tahun, Francis Smith yang membuat rondaan dengan senapang telah menembak mati seorang tukang batu bernama Thomas Milwood setelah tersalah sangka menyangka ia hantu.

Ketika itu sekitar jam 11 malam, Smith terlihat satu sosok berpakaian serba putih tidak jauh di depannya. Smith menjerit meminta makhluk itu memperkenalkan diri. Apabila tiada jawapan, dia melepaskan tembakan ke arah sosok misteri itu. Benarkah dia telah menembak hantu?

Tidak! Mangsa yang ditembak Smith sebenarnya ialah Thomas Millwood, yang baru pulang dari rumah ibu bapanya. Pakaian kerja Thomas memang serba putih — seluar linen putih, rompi flanel putih, apron putih dan kasut putih. Malah, Thomas pernah disalah anggap sebagai hantu dua kali sebelumnya.

Apabila menyedari telah menembak manusia, Smith segera menyerah diri kepada polis. Di mahkamah beliau berkata, “Saya tidak tahu apa yang saya lakukan. Saya bersumpah saya tidak berniat untuk membunuh sesiapa, lebih-lebih lagi lelaki malang itu.”

Walaupun mengaku menembak, Smith menegaskan bahawa dia menyangka benar-benar menembak hantu dan mengaku tidak bersalah. Namun, hakim menegaskan bahawa tiada alasan untuk membunuh seseorang atas dasar tersilap sangka.

Juri pada awalnya memutuskan kesalahan membunuh tanpa niat tetapi hakim menolak keputusan itu dan memaksa mereka membuat penilaian semula.

Akhirnya, juri mendapati Smith bersalah atas tuduhan membunuh, dan beliau dijatuhkan hukuman mati. Namun, setelah mendapat simpati masyarakat, hukumannya diringankan kepada setahun penjara dengan kerja berat, dan akhirnya beliau diberi pengampunan penuh oleh raja.

Misteri Hantu Terbongkar

Tidak lama selepas itu, misteri sebenar terbongkar. Seorang tukang kasut tua bernama John Graham tampil mengaku bahawa dialah yang menyamar sebagai hantu. Tujuannya untuk menakutkan anak muridnya sendiri, yang sering menakutkan anak-anak Graham dengan cerita hantu.

Graham ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan jaminan, dan tiada rekod menunjukkan dia pernah dihukum.

Kes hantu Hammersmith ini telah menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Britain kerana mendedahkan kelemahan dalam undang-undang ketika itu – khususnya mengenai hak mempertahankan diri akibat kesilapan kepercayaan.

Lebih seratus tahun kemudian, isu ini hanya diselesaikan dalam kes Regina v. Williams (1983), apabila mahkamah memutuskan bahawa kesilapan hanya boleh dijadikan alasan pertahanan jika ia munasabah.

Kes pembunuhan Hantu Hammersmith telah mencipta preseden undang-undang penting di United Kingdom berkaitan hak mempertahankan diri, di mana seseorang itu tetap boleh dipersalahkan atas perbuatannya, walaupun tindakannya itui berpunca daripada kepercayaan yang salah.

Pun begitu, lagenda hantu Hammersmith terus hidup. Ramai penduduk masih percaya bahawa hantu itu akan muncul semula setiap 50 tahun di tanah perkuburan Hammersmith. Laporan terakhir tentang penampakan itu dibuat pada Julai 1955.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This