Bagi yang gemarkan aktiviti mencabar dan mengujakan, Skyline Luge Kuala Lumpur (KL) kini memperkenalkan tarikan terbaharunya, Zipline HyFly (HyFly), pengalaman meluncur di udara pertama seumpamanya di Asia yang menjanjikan debaran luar biasa buat pengunjung.
Berbeza daripada zipline biasa yang hanya bergerak lurus, HyFly menggunakan sistem Kabel-ke-Landasan (Cable-to-Rail) yang membolehkan penunggang meluncur sambil membuat selekoh, pusingan dan putaran di udara sepanjang laluan sejauh 380 meter.

Lebih menarik, pengalaman ini diakhiri dengan dua pilihan sama ada anda boleh memilih Jatuh Bebas setinggi 15 meter untuk ledakan adrenalin maksimum atau turun dengan lebih santai melalui tangga, semua bergantung pada sejauh mana anda ingin mencabar diri.
Lebih menarik, apa kata berlumba dengan pasangan sambil menikmati keindahan dengan Pelancaran Berkembar (Dual Launch) di mana dua penunggang boleh meluncur serentak, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.

Menurut Logan Chandler, Pengurus Besar Skyline Luge Kuala Lumpur, waktu terbaik bagi menikmati keindahan dan keseronokan aktiviti di Skyline Luge KL ialah pagi awal atau lewat petang, ketika langit berwarna keemasan.
“Pada waktu pagi, suasana tenang dengan udara segar menjadikan pengalaman meluncur lebih damai dan menyegarkan.
“Manakala menjelang matahari terbenam, anda akan disajikan panorama menakjubkan dengan cahaya jingga yang memantul di atas trek dan pepohon, mencipta momen yang cukup Instagram-worthy,” katanya ringkas.
Sejak dibuka pada Disember 2023, Skyline Luge KL sudah menerima lebih dua juta pengunjung dalam tempoh kurang dua tahun, satu pencapaian membanggakan bagi destinasi pelancongan tempatan.

Jelas Logan lagi, visi mereka bukan sekadar memperkenalkan tarikan baharu, tetapi mencipta ruang untuk seisi keluarga berkumpul, bergembira dan mencipta kenangan bersama.
“Sejak Skyline Luge KL dilancarkan pada Disember 2023, kami telah menerima lebih dua juta pengunjung. Ia membuktikan rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa amat menggemari aktiviti berasaskan pengembaraan yang menyeronokkan. Malaysia memang tempat terbaik untuk HyFly. Kami mahu setiap pengunjung merasai detik kebebasan sebenar,” ulasnya.
Tambah Logan lagi, pihaknya menyasarkan untuk menarik antara 400,000 hingga 500,000 pengunjung pada tahun depan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami mahu menjadikan Skyline Luge KL bukan sekadar tarikan baharu, tetapi destinasi untuk keluarga dan rakan berkumpul, bergembira serta mencipta kenangan bersama,” ujarnya.
Selain HyFly, Skyline Luge KL turut menawarkan aktiviti Luge Ride yang membawa penunggang menuruni bukit melalui trek berliku. Gabungan dua aktiviti ini menjadikan destinasi tersebut tempat ideal untuk keluarga menghabiskan masa bersama.

