PENYANYI legenda tanah air, Anuar Zain tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila akhirnya diberi peluang beraksi buat pertama kalinya di Stadium Merdeka, menerusi konsert mega Healing Night 2026 yang dijadual berlangsung pada 24 Januari tahun depan.
Bagi Anuar, atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 55, impian menjejak kaki di pentas bersejarah itu akhirnya menjadi kenyataan setelah sekian lama menanti.
“Saya dah lama sangat menantikan peluang ini dan akhirnya ia datang juga. Saya hanya pernah buat konserti di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 100,000 penonton ketika SUKMA 1998.
“Stadium Merdeka ni bukan sebarang tempat, ia simbol sejarah dan kebanggaan negara kita.
“Dapat menyanyi di sana, memang satu perasaan yang hebat,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media konsert Healing Night 2026 di ibu negara.

Konsert Healing Night 2026, yang dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn. Bhd. dengan kerjasama Creative Page Sdn. Bhd. dan Yumeca Sdn. Bhd., bakal menampilkan barisan artis hebat dari Malaysia dan Indonesia.
Selain Anuar, pentas berprestij itu turut diserikan oleh ‘Ratu Rock’ Ella, Dayang Nurfaizah, serta dua bintang Indonesia iaitu Kangen Band dan Lyodra, menjanjikan sebuah malam penuh emosi, nostalgia dan tenaga muzik lintas generasi.
Berkongsi tentang makna di sebalik tema konsert, Anuar berkata istilah healing tidak hanya terletak pada lirik lagu semata-mata, tetapi bergantung kepada bagaimana pendengar menghayatinya.
“Sebenarnya lagu-lagu yang dipanggil ‘healing’ ni luas maknanya. Ia bukan hanya tentang lirik, tapi perasaan yang lahir ketika mendengar.
“Kadang-kadang kita berdepan cabaran dalam hidup, mungkin masalah kerja, pasangan, atau keluarga dan melalui muzik, kita boleh rasa sedikit kelegaan,” ujarnya.
Menyebut lagu hitnya Bila Resah, Anuar menambah bahawa muzik memiliki kuasa untuk menenangkan hati yang gelisah.
“Mungkin lagu tu boleh jadi penawar untuk seseorang.
“Itu healing bagi saya, bila lagu menyentuh hati pendengar dan buat mereka rasa lebih kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Anuar baru sahaja menjayakan Konsert Empat di Mega Star Arena Kuala Lumpur bersama kakaknya Ziana Zain, serta pasangan Syamel dan Ernie Zakri, pada 18 Oktober lalu.
Kejayaan konsert tersebut menjadi pembakar semangat untuk dia tampil lebih besar dan berani pada 2026.
Dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri dan gabungan artis dua negara, Healing Night 2026 yang mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC dijangka menjadi antara konsert paling dinanti peminat muzik serantau tahun depan, sebuah malam yang bukan sekadar hiburan, tetapi juga terapi jiwa melalui muzik.
Tiket dijual bermula dari RM190 menerusi www.ticket2u.com.my.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

