Live Universe, penganjur konsert terkemuka, dengan bangganya mengumumkan acara K-Pop yang julung-julung kalinya menampilkan artis bertaraf antarabangsa (G)I-DLE dan BamBam (anggota GOT7).
Dijadualkan pada 14 Jun hadapan, bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang ikonik, konsert ini bakal melakar sejarah apabila menjadi persembahan K-Pop pertama di lokasi bersejarah ini, menjanjikan pengalaman muzik yang tidak mungkin dilupakan oleh para peminat.

“Kami berdedikasi untuk membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia. Sebagai tuan rumah kepada (G)I-DLE dan BamBam di Stadium Merdeka, acara ini bukanlah sekadar konsert, tetapi ia adalah pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh yang panjang,” ujar wakil Live Universe.
Ditubuhkan pada 2018 di bawah Cube Entertainment, (G)I-DLE meraih populariti global dengan pantas, dengan gaya muzik mereka yang unik dan persembahan dinamik. Kumpulan ini terdiri daripada lima ahli berbakat, Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi, dan Shuhua.
EP sulung mereka, I Am, yang menampilkan single hits “Latata”, mendapat pujian antarabangsa, menduduki carta dan mengukuhkan kehadiran mereka dalam industri K-Pop.
Pelancaran berikutnya seperti I Trust dan I Never Die terus memperkukuhkan reputasi mereka, dengan lagu-lagu seperti “Oh My God” dan “Tomboy” berada di kedudukan teratas di carta-carta muzik.
Secara spesifik, “Tomboy” berjaya meraih tempat pertama dalam Carta Digital Gaon Korea Selatan dan Billboard K-pop Hot 100.
Selain pencapaian muzik, (G)I-DLE juga diiktiraf atas sumbangan seni mereka, dengan I Never Die dipaparkan dalam majalah Time sebagai salah satu “The Best Albums of 2022.” Pendekatan inovatif kumpulan ini dan daya tarikan global mereka telah mengumpul pengikut setia di peringkat antarabangsa.
Manakala, BamBam merupakan artis berbakat serba boleh yang terkenal dengan kerjayanya sebagai rapper, penyanyi, dan penari. Mula mencipta nama apabila menyertai kumpulan lelaki Korea Selatan, GOT7, yang memulakan kerjaya pada tahun 2014 di bawah JYP Entertainment. Sepanjang bersama GOT7, BamBam menjadi perhatian kerana keunikan gaya dan persembahan dinamik.

Pada Jun 2021, BamBam memulakan kerjaya solo dengan pelancaran EP sulungnya, riBBon. Album yang mengandungi enam lagu ini mempamerkan kepelbagaian dan perkembangan seni beliau, di mana BamBam turut terlibat dalam penulisan dan penciptaan lagu. Lagu utama, “riBBon”, adalah simbol kelahiran semula beliau sebagai artis solo, malah menerima ulasan positif kerana bunyi baharu dan arah kreatifnya.
Selain muzik, BamBam juga membuat kemajuan besar dalam industri fesyen. Pada 2017, dia melancarkan koleksi pakaian pertamanya, doubleB, dengan kerjasama Represent untuk menyokong tujuan amal.

Pengaruhnya dalam dunia fesyen semakin dihargai apabila dilantik sebagai duta untuk Louis Vuitton pada Februari 2024. Konsert Jun ini merupakan kemunculan kedua BamBam di Malaysia, sebelum ini beliau pernah menghiburkan para peminat Malaysia dalam konsert BamBam THE 1ST WORLD TOUR [AREA 52] 2023-2024.
Cabutan Bertuah Eksklusif untuk Pemegang Tiket

Agar memori terpahat untuk acara bersejarah ini, Live Universe membawakan cabutan bertuah eksklusif untuk pembeli tiket awal:
- Hadiah Toyota Vellfire: 10,000 pembeli pertama tiket CAT1, CAT2, atau CAT3 secara automatik berpeluang membawa pulang hadiah utama yang merupakan sebuah kenderaan mewah, Toyota Vellfire.
- Hadiah iPhone 16: 10,000 pembeli pertama tiket CAT4, CAT5, atau CAT6 akan dimasukkan dalam cabutan berasingan, di mana lima (5) pemenang bertuah masing-masing akan menerima iPhone 16 terbaharu.
Pemenang akan diumumkan dan dihubungi terus oleh pihak penganjur pada hari konsert. *Tertakluk kepada terma dan syarat. Terhad kepada 10,000 pembeli pertama yang layak bagi setiap kategori tiket.
Info Jualan Tiket
Tiket-tiket untuk konsert ini sudah mula dijual secara eksklusif di Ticket2U.com.my. Peminat yang membeli tiket awal boleh menikmati tawaran istimewa early bird, menerima diskaun 10% ke atas harga tiket yang disenaraikan di bawah. Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk mendapatkan tempat duduk pilihan dengan harga hebat!
CAT 1 (BERDIRI): Belian Awal: RM988
Harga Biasa: RM1.098
CAT 2 (BERDIRI): Belian Awal: RM767
Harga Biasa: RM852
CAT 3 (BERDIRI): Belian Awal: RM603
Harga Biasa: RM670
CAT 4 (TIDAK BERNOMBOR- KAWASAN BUMBUNG): Belian Awal: RM500
Harga Biasa: RM556
CAT 5 (TIDAK BERNOMBOR): Belian Awal: RM367
Harga Biasa: RM408
CAT 6 (TIDAK BERNOMBOR): Belian Awal: RM265
Harga Biasa: RM294

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

