SEKTOR perfileman dan kandungan kreatif negara dijangka terus bertambah segar apabila Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tempoh dua tahun bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
Pelantikan semula ini disifatkan sebagai langkah kesinambungan terhadap pelan transformasi FINAS yang dipacu sejak 2023, dengan tumpuan ke arah pemodenan dasar, pengukuhan tadbir urus dan memperkukuh ekosistem kreatif Malaysia di pentas global.
Dalam kenyataannya, Azmir menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi FINAS, serta Ahli-Ahli Perbadanan FINAS atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap kepimpinannya.
Beliau turut berterima kasih kepada seluruh warga kerja FINAS dan rakan industri kreatif yang sentiasa berganding bahu membangunkan sektor seni dan filem tanah air.
Menggariskan empat fokus utama penggal kedua, Azmir berkata, antara tumpuan penting ialah pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) bagi memperkemas perundangan industri, melindungi kebajikan tenaga produksi serta memperkukuh sistem perlesenan dan model pekerjaan kreatif masa kini.
Selain itu, pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035 akan menjadi pelan hala tuju 10 tahun yang menetapkan aspirasi besar seperti:
- Menjadikan Malaysia sebagai Hab Industri Kreatif ASEAN,
- Memperkasa pemilikan harta intelek (IP) dan pasaran eksport,
- Melahirkan produser dan showrunner tempatan bertaraf global,
- Memperluas kerjasama pembiayaan dan penerbitan bersama antarabangsa,
- Menyemarakkan naratif kebangsaan progresif, dan
- Mengukuhkan jaringan strategik antara industri dan institusi pendidikan.
Menariknya, FINAS turut mengumumkan Insentif Galakan Industri Filem bernilai RM110 juta bagi tempoh dua tahun akan datang.
Dana itu akan dimanfaatkan untuk menarik penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, RM10 juta diperuntukkan khusus bagi penerbitan berteraskan semangat kenegaraan, sebagai usaha memperkukuh jati diri nasional melalui medium kreatif.
Di samping itu, pelaksanaan Dana Belia Kreatif MADANI akan memfokuskan kepada pembangunan bakat muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi dan belia komuniti agar mampu menjadi generasi pencipta kandungan yang berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.
FINAS turut optimis terhadap landskap dua tahun akan datang, dengan pasaran kandungan Malaysia terus menerima perhatian pelabur antarabangsa.
Platform penstriman global seperti Netflix, Viu, iQiyi dan Astro terus melabur dalam produksi tempatan, manakala siri seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga membuktikan potensi kandungan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Untuk memperkukuh kedudukan ini, FINAS bakal memperkenalkan Model Pembiayaan Filem Baharu dan memperluas Skim Kerjasama Penerbitan Antarabangsa (Co-Production) bagi menarik pelaburan serantau.
Dalam ASEAN Film & TV Summit 2025 baru-baru ini, Malaysia turut menjadi hos kepada pelancaran Deklarasi Belia Kreatif ASEAN, satu komitmen bersama generasi muda rantau ini terhadap prinsip integriti kreatif, keterangkuman budaya dan kepelbagaian naratif sinema Asia Tenggara.
Inisiatif ini menjadikan Malaysia sebagai peneraju diplomasi budaya dan kreatif serantau seiring aspirasi negara sebagai hab pertumbuhan industri kreatif ASEAN.
Menutup kenyataannya, Azmir menegaskan bahawa penggal kedua ini akan menampilkan wajah baharu FINAS yang lebih efisien, telus dan mesra industri.
“Melalui pindaan Akta FINAS dan pelaksanaan Dasar Perfileman Negara yang baharu, FINAS komited memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program kandungan di Sabah dan Sarawak di bawah jenama Borneo Content.
“Kami mahu merakyatkan industri filem dan mengangkatnya sebagai sektor yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf dunia mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara,” katanya.

