SETELAH sekian lama tidak bergandingan di layar kaca, dua pelakon popular tanah air, Datuk Remy Ishak dan Nora Danish, kembali mencipta magis menerusi telefilem romantik terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat, arahan pengarah prolifik Izuan Mokhtar.
Naskhah penuh emosi terbitan Usanita Entertainment Sdn. Bhd itu diterbitkan di bawah jenama UTV, milik Usanita Group yang diketuai oleh Datuk Adzliana Hasan selaku Presiden UTV dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group.
Telefilem tersebut bakal menemui penonton pada 6 November 2025, jam 9 malam, menghimpunkan barisan pelakon ternama termasuk Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi.

Mengangkat tema cinta, kehilangan dan kekuatan untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat membawa penonton menyelami perjalanan dua jiwa yang saling menemui makna cinta melalui ‘rasa’, bukan pandangan mata.
Berlatar belakangkan keindahan Auckland, New Zealand, karya ini menjanjikan visual sinematik yang memukau dan emosi yang mendalam.
Menurut pengarahnya, Izuan Mokhtar, penggambaran telefilem ini dijalankan selama sembilan hari yang mana dua hari di Malaysia dan tujuh hari di New Zealand.

Dia mengakui pengalaman tersebut memberikan cabaran besar, khususnya dari segi logistik dan faktor cuaca.
“Asalnya, saya rancang untuk penggambaran di Morocco dan sudah buat tinjauan di Tunisia, Marrakesh dan Casablanca.
“Namun, atas faktor logistik dan kesesuaian naratif, kami memilih New Zealand yang menawarkan latar visual lebih segar dan harmoni dengan jalan cerita,” katanya.
Izuan turut berkongsi idea telefilem ini berakar daripada keinginannya untuk menghasilkan kisah cinta yang menggabungkan emosi manusia dengan dunia kulinari.
“Saling Tak Terlihat ialah cerita tentang cinta dan makanan. Ia memadukan rasa cinta terhadap masakan dengan rasa cinta antara dua insan.
“Saya mahu penonton merasakan keindahan cinta yang datang bukan daripada penglihatan, tetapi daripada deria rasa yang lebih mendalam,” ujarnya.
Watak utama wanita, lakonan Nora Danish, digambarkan sebagai seorang gadis buta yang memiliki deria rasa tajam, menjadikan tema deria dan rasa lebih kuat serta simbolik dalam penceritaan.

“Saya percaya golongan OKU memiliki kelebihan luar biasa. Dalam kisah ini, watak buta itu melihat dunia dengan cara berbeza melalui emosi dan rasa, bukan mata.
“Dari situ wujud hubungan yang unik antara dua jiwa utama,” tambah Izuan.
Sepanjang penggambaran, cuaca tidak menentu di Auckland turut memberikan cabaran besar kepada produksi.
“Empat hari kami tidak dapat menjalani penggambaran kerana hujan berterusan.
“Jadi, kami terpaksa ubah jadual dan susun semula lokasi. Sebaik hujan reda, kami teruskan penggambaran tanpa menunggu,” jelasnya.
Telefilem ini turut menandakan gandingan semula antara Remy dan Nora selepas beberapa tahun tidak berlakon bersama.
Bagi Izuan, kedua-duanya membawa kekuatan tersendiri yang menambah kedalaman pada naskhah ini.
“Remy dan Nora sudah lama dikenali dengan chemistry mereka.
“Tapi kali ini saya beri ruang untuk mereka tampil lebih matang dan beremosi.
“Saling Tak Terlihat lebih berat dari segi perasaan, berbanding karya saya sebelum ini, Poskad Cinta Dari Auckland,” jelasnya.
Sementara itu, Adzliana Hasan berkata, telefilem ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk mempersembahkan karya tempatan berkualiti tinggi dengan kepelbagaian bakat.

“Kami di UTV mahu menonjolkan pelakon daripada pelbagai latar dan wajah, bukan hanya duta Usanita semata-mata.
“Setiap projek kami dihasilkan untuk memperkukuh nilai dan mutu karya tempatan agar setanding dengan produksi antarabangsa,” ujarnya.
Sinopsis
Kisah bermula apabila Ghaz (Remy Ishak), seorang cef berbakat, kehilangan ibunya yang juga cef terkenal yang menjadi sumber inspirasi hidupnya.
Sejak itu, dia hilang semangat dan keyakinan terhadap masakan sendiri. Dalam pencarian makna baharu, Ghaz membawa diri ke Auckland, New Zealand bersama adik dan rakan sekerja (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin).
Di sana, dia bertemu Safera (Nora Danish), seorang gadis buta yang membawa perspektif baharu terhadap kehidupan dan rasa. Kehadiran Safera menyentuh hati Ghaz dan mengembalikan semangatnya untuk mencipta semula cinta dalam masakan dan hidup.
Namun, salah faham yang tercetus akhirnya menguji ikatan dua jiwa ini. Dengan sinematografi indah dan emosi yang jujur, Saling Tak Terlihat menjanjikan pengalaman menonton yang lembut, romantik dan penuh makna.
Telefilem ini bakal disiarkan secara eksklusif di platform UTV pada 6 November 2025, jam 9 malam.
Menambah keindahan naskhah ini, lagu Jadikan Aku Nadi Hidupmu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai dan dinyanyikan oleh Lah Ahmad dipilih sebagai runut bunyi rasmi telefilem tersebut sekaligus melengkapkan aura cinta dan rasa yang menjadi nadi kisah ini.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

