INDUSTRI filem tanah air terus menerima suntikan semangat apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyalurkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) Bil. 2/2025 berjumlah RM1,128,729.74 kepada 14 buah filem tempatan, hari ini.
Majlis penyampaian insentif berprestij itu berlangsung di Studio Dolby Atmos, Mix Stage, FINAS Hulu Kelang, Ampang dengan disempurnakan oleh Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.
Menurut FINAS, ITFC adalah bentuk pengiktirafan dan galakan buat penerbit filem untuk terus menghasilkan karya berkualiti, selain membuktikan sokongan kerajaan terhadap kelangsungan industri perfileman negara.
Tahun ini sahaja, lebih RM1.7 juta sudah diagihkan menerusi skim tersebut. Pada April lalu, sebanyak sembilan filem daripada tujuh syarikat penerbitan menerima RM613,702.13 di bawah ITFC 2.0 Bil. 1/2025, manakala pusingan kedua menyaksikan jumlah yang lebih besar diberikan kepada 14 filem.
“Peningkatan jumlah penerbitan tempatan yang mendapat sambutan di pawagam adalah petanda positif.
“Kami yakin insentif ini mampu merancakkan lagi aktiviti penerbitan filem cereka, di samping memperkukuhkan daya saing industri di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Hans.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli Perbadanan merangkap Pengerusi Skim Wajib Tayang, Zed Zaidi selain barisan penggiat industri kreatif dan warga FINAS.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

