PRESIDEN Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa esok, 15 November 2025.
Pelantikan Fadlun atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Fadlun, 58, menggantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang telah dilantik sebagai Penasihat Hartanah Petronas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, Fadlun memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Menurut Zaliha, Fadlun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menunjukkan kepimpinan cemerlang sepanjang mengetuai Perbadanan Putrajaya.
“Dalam tempoh tersebut, beliau telah memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
“Fadlun juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.
“Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Maimunah dilantik sebagai Penasihat Hartanah Petronas
Mengulas lanjut, Dr Zaliha menaruh keyakinan bahawa pelantikan Fadlun akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.
Beliau turut berharap kepimpinan Fadlun dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI.
Dr Zaliha turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maimunah atas kepimpinan dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi ibu negara di peringkat antarabangsa.
“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah Petronas dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,” katanya.
Semalam, Petronas dalam kenyataan memberitahu Maimunah akan membimbing syarikat itu dalam membentuk fasa pertumbuhan baharu portfolio hartanahnya.
Pemilihan Maimunah signifikan memandangkan beliau ialah seorang pemimpin yang dihormati di peringkat global. Beliau juga adalah seorang teknokrat bertauliah dengan pengalaman luas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

