SELEPAS beberapa tahun menyepi, Karnival Hijrah 2025 kembali dengan penganjuran lebih segar dan berimpak apabila TV AlHijrah, bersama sokongan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), 13 agensi HEA serta FELDA, bakal turun padang diĀ Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi pada 21 hingga 23 November ini.
Lokasinya dipilih kerana keistimewaan komuniti setempat yang terkenal dengan semangat gotong-royong serta kedudukannya yang strategik di laluan utama antara Kota Tinggi dan Desaru.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek, Karnival Hijrah bukanlah jenama baharu, sebaliknya telah bermula sejak 2011 dan kembali diperhebatkan tahun ini dengan pendekatan lebih mesra komuniti.

āKarnival Hijrah memang sudah lama wujud, tapi tahun ini kita bawa nafas baharu. Walaupun skalanya lebih kecil kerana diadakan di sub-rural area, Felda Air Tawar 2 sangat strategik.
āPenduduk sekitar dianggarkan lebih 20 ribu orang dan lokasinya ācentralizedā,ā katanya kepada URTV.
Saifulizan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman karnival yang berlangsung di ibu kota.
Sidang media itu turut dihadiri Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mbokhtar.
Selama tiga hari, pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk semua lapisan masyarakat termasuk kenduri rakyat, gotong-royong, sukaneka, jualan rahmah, pertandingan komuniti, serta program Hijrah Prihatin untuk membantu golongan memerlukan.
Antara acara yang dijangka mencuri perhatian ialah Wayang Pacak Hijrah, iaitu tayangan filem-filem Islamik pilihan pada waktu malam, mengembalikan nostalgia desa dengan sentuhan dakwah santai.
Dua program utama TV AlHijrah, Hijrah Berselawat dan Dakwah Live, turut akan dirakam secara langsung di lokasi.
āKami mahu masyarakat lihat sendiri bagaimana sebuah stesen TV bekerja. Selalunya rakaman dibuat di studio, tetapi kali ini panel, hos dan kru turun ke kampung.Ā
āIni pengalaman pertama untuk ramai,ā tambah Saifulizan.
Katanya, semua aktiviti mempunyai pelan alternatif sekiranya hujan, termasuk pemindahan ke lokasi tertutup.
Karnival ini dijangka menerima kehadiran antara 7,000 hingga 10,000 pengunjung memandangkan komuniti Felda di sekitar kawasan seperti Air Tawar 1 hingga 6 dan Felda Sungai Papan.
Turut memeriahkan acara ialah personaliti TV AlHijrah serta artis jemputan seperti Mawi dan kumpulan nasyid popular In-Team.
Majlis penutup rasmi pada 23 November akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Naāim Mokhtar.
Dengan kehadiran karnival ini di selatan tanah air, TV AlHijrah berharap gelombang dakwah dan ukhuwah akan terus meluas ke kawasan lain pada tahun-tahun mendatang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

