MYTV Perkenal Siri Originals Pertama: BF Green Flag

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

MYTV Mana-Mana terus melangkah ke hadapan dalam dunia penstriman tempatan apabila melancarkan siri original pertama mereka, BF Green Flag, sekali gus menandakan era baharu untuk platform itu yang ingin tampil sebagai pengeluar kandungan berkualiti.

Dilancarkan pada 13 November, siri 20 episod berdurasi tujuh minit itu ditayangkan setiap Khamis, jam 12 tengah hari eksklusif di aplikasi MYTV Mana-Mana.

Menariknya, lima episod pertama boleh ditonton secara percuma sebagai pengenalan kepada naskhah ini.

Siri produksi Astra Entertainment itu mempertemukan dua wajah berbeza dunia seni iaitu Syazwan Razak, yang hadir dengan sisi lakonan lebih matang menerusi watak Alfa dan Athalia, yang buat pertama kali muncul sebagai pelakon. 

Jika sebelum ini peminat mengenali Athalia sebagai penyanyi, BF Green Flag membuka bab baharu dalam kariernya.

Keserasian mereka menjadi taruhan utama siri ini, dan menurut produksi, gandingan segar itu mampu menambah warna pada genre romantik.

Turut menyokong siri ini ialah barisan pelakon mantap seperti Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, Dottie Syuhada, serta penampilan cameo daripada pempengaruh popular seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai.

BF Green Flag membawa penonton menyelami kisah Adella, gadis yang menutup pintu hati selepas dikhianati dalam hubungan toksik. 

Ketika dia sudah tawar dengan cinta, muncul Alfa, lelaki yang diperkenalkan oleh makciknya dan perlahan-lahan merawat lukanya.

Daripada curiga bertukar percaya, daripada luka kembali sembuh, siri ini bukan sekadar rom-com manis, tetapi turut menyentuh sisi kesihatan mental, trauma hubungan toksik dan keberanian untuk memberi peluang kedua.

Dengan arahan Kamal Husni dan skrip Faten Syamimie, naskhah ini cuba menjadi cermin realiti buat Gen Z yang semakin sedar tentang istilah red flag, green flag dan hubungan sihat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, pelancaran BF Green Flag menjadi batu loncatan penting.

“MYTV Originals ialah langkah strategik untuk memantapkan ekosistem kreatif tempatan. 

“Kami mahu tampil sebagai platform yang bukan sahaja menyiarkan kandungan, tetapi juga menghasilkan karya asal yang segar, autentik dan relevan dengan generasi masa kini,” katanya.

MYTV yakin siri ini bakal menarik minat Gen Z, namun jalan ceritanya tetap dekat dengan semua lapisan penonton.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Datuk Rozaidi Baharudin berkata, pihaknya menekankan nilai yang ingin dibawa siri tersebut.

“Kami mahu mengangkat tema besar seperti trauma dan kepercayaan, sambil memberi ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah.

“Ini naskhah yang dekat dengan jiwa generasi sekarang,” jelasnya.

Tambah menarik, BF Green Flag turut menggunakan lagu tema Hanya Namamu Cinta nyanyian Dafi, yang diberi sentuhan baharu khas untuk siri ini. 

Versi moden itu menguatkan lagi perjalanan emosi Adella dan Alfa.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan BF Green Flag, setiap Khamis, jam 12.00 tengah hari, hanya di aplikasi MYTV Mana-Mana.

Peminat juga boleh mengikuti perkembangan, klip eksklusif dan kemas kini di semua platform media sosial MYTV.

MYTV turut mengumumkan kerjasama dengan CelcomDigi, yang bakal menawarkan akses istimewa kepada pengguna untuk menikmati MYTV Originals dan kandungan premium tidak lama lagi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Iklan promosi ‘kegemaran M.Nasir’ tanpa kebenaran, Grab kena saman RM5 juta

SIAPA yang tidak kenal dengan susuk tubuh maestro muzik legenda tanah air, Datuk M. Nasir? Sentiasa tampil tenang dan...

More Articles Like This