SELEPAS tular dakwaan kononnya penyanyi Adira Suhaimi meninggalkan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu di tepi lebuh raya, penyanyi itu akhirnya tampil menjernihkan keadaan dan menjelaskan situasi sebenar.
Adira, 34, mengakui kejadian itu benar berlaku namun menegaskan dia tidak sesekali meninggalkan lelaki tersebut di tempat berbahaya, sebaliknya meletakkan di lokasi yang selamat.
“Saya mengaku ada tinggalkan, tapi bukan tengah malam.
“Saya tinggalkan dia dekat kawasan stesen minyak supaya dia senang ke tandas dan sebagainya,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya bersama Fiq7 berjudul Cermin Memori di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.
Mengulas lanjut, Adira berkata punca tindakan itu tidak akan dikongsikan kepada umum disebabkan terlalu peribadi dan hanya diketahui mereka berdua.
“Ada sebab-sebab tertentu yang saya tak boleh kongsi.
“Apa yang dia cerita itu datang daripada pihak dia. Cukuplah saya dan dia saja yang tahu,” jelasnya.
Enggan memanjangkan kontroversi, Adira memilih untuk berdiam diri meskipun pelbagai kenyataan dikeluarkan pihak bekas suami atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Menurutnya, membalas semula hanya akan membuka ruang pertelingkahan baharu dan menjejaskan hati banyak pihak, termasuk anak-anak.
“Saya tak mahu keruhkan keadaan. Kadang-kadang orang bercakap dalam keadaan emosi, bukan guna akal.
“Kalau saya balas, saya takut akan jadi lebih buruk.
“Saya jaga banyak hati… anak-anak saya dan anak-anak tiri,” katanya lagi.
Hubungan Adira dengan anak-anak tirinya juga kekal baik dan kedua-dua pihak masih saling mengambil tahu perkembangan masing-masing.
Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, Adira berkata hubungan dengan bekas suami masih perlu dijaga kerana urusan anak-anak.
Bagaimanapun, untuk mengelakkan perasaan janggal, dia menyerahkan kakaknya, Emma Suhaimi, sebagai pengantara sekiranya perlu berhubung dengan Datuk Red.
“Besok-besok pun dia akan datang rumah jumpa anak. Saya tak nak jadi kekok.
“Buat masa ini, kalau WhatsApp atau urusan lain, saya minta kakak saya yang uruskan,” ujarnya.
Untuk info, Adira dan Datuk Red, berkahwin pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

