Bola sepak, sukan paling popular dari dahulu sehinggalah sekarang, dimainkan oleh jutaan orang di seluruh dunia. Tahukah anda, sukan ini pernah diharamkan suatu ketika dahulu?
Lebih 700 tahun yang lalu, England pernah mengharamkan sukan ini daripada dimainkan. Pada zaman itu, bola sepak bukan seperti yang kita lihat sekarang. Orang bermain bola sepak di mana-mana sahaja. Tiada padang, tiada pengadil. Orang ramai akan berebut-rebut sama ada menangkap atau menendang bola sesuka hati ke sana ke mari.
Disebabkan itu, banyak kerosakan berlaku. Tingkap pecah, rumah rosak, yang bergaduh sehingga menimbulkan kekecohan bahkan menyebabkan kematian pun ada, semuanya disebabkan bermain bola sepak.

Ketika itu, banyak keluhan daripada masyarakat terutama golongan peniaga yang meminta Raja agar menghentikan sukan ini yang dianggap permainan kasar, bising, merosakkan persekitaran dan menggugat ketenangan awam.
Kebanyakan variasi bola sepak ketika itu diselitkan sebagai sebahagian daripada acara komuniti atau perayaan agama. Pemain boleh terdiri daripada ratusan orang. Padang mereka pula merentasi jaringan jalan-jalan sempit sejauh beberapa kilometer. Bukan sekadar menyepak atau berebut bola, ia termasuk membelasah pemain lawan. Tidak hairanlah angka kematian sesetengah perlawanan kadangkala melebihi jaringan gol.
Sejarawan William FitzStephen pada tahun 1175 mencatatkan bagaimana kumpulan remaja dan pekerja memenuhi jalan-jalan London dengan bola masing-masing yang telah mencetuskan kekacauan.
Raja England ketika itu, Raja Edward II melihat keadaan ini sebagai satu masalah yang tidak boleh dibiarkan. Ia bukan sekadar mengganggu ketenteraman dan mendatangkan pelbagai masalah, tetapi beliau merasakan rakyat tidak lagi meletakkan latihan memanah sebagai salah satu perkara penting.
Waktu itu, kemahiran memanah sangat dititikberatkan sebagai salah satu elemen pertahanan negara. Setiap lelaki Inggeris memang disuruh untuk berlatih memanah, bukan sibuk mengejar sebiji bola.

Disebabkan itu pada tahun 1314, Raja Edward II telah mengharamkan permainan bola sepak di kota London. Ia adalah larangan pertama di Britain yang kemudian menjadi pencetus kepada sekurang-kurangnya 30 larangan lain selepas itu.
Notis larangan telah ditampal di serata tempat, disertakan amaran keras dan hukuman kepada sesiapa yang melanggarnya. Mereka yang ditangkap kerana bermain bola akan dihukum penjara di salah satu pusat tahanan paling kejam di London.
Beberapa raja lain selepas itu seperti Edward III, Richard II dan Henry IV turut mengekalkan pengharaman tersebut kerana tidak mahu rakyat lalai sehingga melupakan latihan perang.
Edward III cuba mengalihkan tumpuan rakyat kepada latihan memanah untuk menangkis ancaman Perancis. Richard II pula mengharamkan permainan bola yang dianggap biadab. Manakala Henry VIII yang dikatakan memiliki sepasang kasut bola sepak pertama yang direkodkan, turut menggantung kasutnya itu demi larangan tersebut.
Sebenarnya, larangan itu tidaklah betul-betul berkesan. Bola sepak masih dimainkan, tetapi secara sembunyi. Namun, larangan itu mungkin juga membawa kebaikan.
Mengikut peredaran zaman, permainan ini mula berubah menjadi lebih bertamadun. Rekod Syarikat Brewers London pada 1421–1423 menyebut tentang sebuah dewan yang ditempah oleh pemain bola untuk mereka bermain sukan itu. Ia menandakan kemungkinan kelab-kelab bola sepak telah mula wujud ketika itu.
Pada abad ke-16, seorang guru di London bernama Richard Mulcaster mula mencari idea tentang peraturan dan peranan pengadil yang boleh diterapkan dalam permainan ini untuk menjadikan sukan ini lebih kemas, lebih selamat dan tersusun.
Dan hari ini, Liga Perdana Inggeris adalah perlawanan yang paling dinantikan oleh jutaan peminat bola sepak seluruh dunia.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

