SELEPAS mencipta fenomena pada 2022, filem seram Menjelang Magrib kembali meneruskan legasinya.
Tiga tahun selepas tayangan pertama, Helroad Films tampil dengan kesinambungan baharu berjudul Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, yang bakal menemui penonton Malaysia mulai 20 November ini.
Menurut penerbitnya, Helfi Kardit, naskhah kedua ini masih mengekalkan tema utama berkaitan pasung, amalan memenjara atau merantai individu yang dipercayai mengalami gangguan mental, suatu budaya yang pernah dilihat sendiri ketika dia menetap di sebuah daerah di Sumatera.

“Untuk filem kedua ini, saya kekal dengan tema pasung. Walaupun siri ini akan diteruskan lagi selepas ini, konsepnya tetap sama kerana ia dekat dengan pengalaman peribadi saya,” katanya kepada URTV.
Menariknya, Helfi menegaskan karya kali ini bukan sekadar sambungan terus daripada filem pertama, sebaliknya sebuah spin-off dengan dunia penceritaan baharu.
Menjelang Magrib 2 mengangkat isu budaya dan kepercayaan masyarakat zaman lampau, termasuk mistik serta amalan rawatan tradisi yang bercanggah dengan pengetahuan sains moden.
“Filem kali ini lebih ‘dark’, penuh elemen budaya dan memperlihatkan ketidakseimbangan sosial yang berlaku pada era penjajahan,” ujarnya.
Latar masa filem ini juga cukup unik kerana ditempatkan pada 1920, ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda (Hindia Belanda).
Filem ini mempersembahkan gabungan pelakon berbakat seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes.

Semuanya menyuntik elemen dramatik dan keseraman dalam sebuah naskhah yang sarat emosi dan budaya.
Selepas ditayangkan di Indonesia pada 4 September lalu, filem ini menerima sambutan menggalakkan dengan tontonan tinggi di pawagam.
Helfi optimis filem baharu ini akan meraih perhatian peminat seram Malaysia, sama seperti filem pertamanya yang mencatat hampir RM2 juta kutipan ketika ditayangkan pada 2022.
“Sudah tentu saya berharap karya kedua ini turut mendapat sambutan hebat. Peminat seram Malaysia memang sentiasa memberi sokongan yang luar biasa,” katanya.
SINOPSIS
Berlatarbelakangkan 1920, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai membawa penonton ke zaman Indonesia di bawah pemerintahan Belanda.
Kisah bermula apabila Giandra, seorang doktor muda lulusan Universiti STOVIA, membaca laporan akhbar mengenai seorang gadis dipasung di Desa Karuhun, amalan rawatan gangguan mental pada era tersebut.
Kaedah itu dilakukan secara mistik oleh seorang dukun, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip perubatan moden yang dipegang Giandra.
Gadis berkenaan, Layla, menjadi subjek laporan seorang wartawan kacukan Belanda-tempatan, Rikke.
Setibanya di desa tersebut, Giandra disambut oleh Rikke, yang turut sama ingin mengetahui kisah sebenar di sebalik rawatan ekstrem terhadap Layla.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

