PELAKON Indonesia, Aditya Zoni, tampil membuka mulut mengenai perkembangan terkini abangnya, pelakon kontroversi Ammar Zoni, yang kini berdepan proses perbicaraan berhubung kes berkaitan dadah.
Aditya, 25, menegaskan keluarga mereka sentiasa memberi sokongan penuh kepada Ammar, selain berharap agar abangnya menerima rawatan pemulihan yang sewajarnya.
“Namanya masih dalam persidangan… kita tunggu saja.
“Ammar sihat, aman. Doakan ada titik terang dari semua ini,” katanya kepada URTV.
Katanya lagi, kali terakhir dia bertemu Ammar adalah kira-kira dua bulan lalu, sebelum abangnya dipindahkan ke lokasi Penjara Nusakambangan, Jawa Tengah, Indonesia.
Aditya berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan filem Menjelang Maghrib 2 di TGV One Utama, malam tadi.

Menurut Aditya, keluarga percaya bahawa seseorang yang bergelut dengan ketagihan tidak wajar dipenjara, sebaliknya perlu menjalani pemulihan menyeluruh.
“Dari dulu saya selalu cakap, kalau pengguna (penagih dadah), mereka harus direhabilitasi.
“Di negara mana pun begitu. Jadi salah kalau pengguna malah dihukum atau dipenjara. Mereka perlu dirawat, bukan dihukum,” ujarnya.
Jelasnya, fokus keluarga ketika ini adalah memastikan Ammar mendapat peluang menjalani rawatan dan sokongan mental secara profesional.
“Sudah tentu keluarga akan fokus kepada rehab. Kami tetap sokong dia, apa pun yang terjadi,” luahnya.
Ditanya sama ada isu yang membabitkan Ammar memberi tempias kepada dirinya, Aditya menegaskan dia kekal positif dan kuat.
“Alhamdulillah tidak terkesan. Walaupun banyak yang terjadi dalam keluarga, kami semua lelaki… jadi kami harus tetap semangat dan bangkit,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik lelaki.
Oktober lalu, media Indonesia melaporkan Ammar yang juga aktor dituduh mengedarkan bahan terlarang kepada banduan lain di penjara.
Ia menjadikan kali keempat Ammar ditangkap atas kesalahan dadah sejak 2017.
Dalam perkembangan lain, Aditya akui teruja mempromosikan filem seram Menjelang Mahgrib 2 di Malaysia.
“Saya harapkan filem seram pertama saya ini dihargai di negara ini seperti mana di Indonesia yang mendapat sambutan cukup baik,” ujarnya.
Selain Aditya, filem itu turut dibintangi Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes.
Filem arahan Helfi Kardit itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai Khamis ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

