Karnival Hijrah 2025 gegar Felda Air Tawar 2, lebih 5,000 pengunjung serbu acara yang berlangsung 3 hari

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

FELDA Air Tawar 2 bermandi cahaya dan riuh dengan gelak tawa apabila Karnival Hijrah 2025 anjuran TV AlHijrah berlangsung penuh meriah sepanjang tiga hari, menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung dari seluruh kawasan sekitar. 

Dari pagi hingga malam, tapak karnival tidak pernah sunyi, seolah-olah seluruh komuniti felda keluar meraikan pesta ilmu, kekeluargaan dan kerohanian yang disediakan.

Berbeza dengan program komuniti biasa, Karnival Hijrah tahun ini tampil lebih segar dan hidup.

Seawal pagi Jumaat, program Subuh Macam Jumaat membuka tirai dengan kehadiran luar jangka. 

Malah, suasana bertambah semarak apabila pertandingan mewarna, pameran 14 agensi Hal Ehwal Agama, pameran ATM, gerai jualan FELDA serta reruai usahawan mula beroperasi, menjadikan lokasi tersebut sentiasa padat dengan kunjungan keluarga.

Tidak cukup dengan itu, malam pertama menyaksikan sambutan luar biasa terhadap tayangan Wayang Pacak telefilem Qarin, apabila ratusan penduduk hadir membawa tikar dan kerusi lipat demi menikmati tontonan santai di bawah langit malam.

Hari kedua pula menyaksikan aura karnival mencapai kemuncaknya. 

Pertandingan Nasyid Piala Ahli Parlimen Kota Tinggi berjaya mencetus debaran apabila penonton memenuhi ruang acara sejak awal pagi. 

Kumpulan Soutun Ummah Al-Faizin akhirnya mengungguli pertandingan setelah memikat juri dengan persembahan bertenaga dan penuh penghayatan. Mereka membawa pulang piala serta hadiah wang tunai RM1,000.

Hadiah disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memuji penganjuran ini kerana berjaya menghidupkan kembali budaya komuniti di felda.

“Karnival Hijrah bukan sekadar program hiburan, ia mengukuhkan hugbungan masyarakat.

“Kota Tinggi sentiasa bersedia bekerjasama dengan TV AlHijrah demi memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Antara momen paling mencuri tumpuan ialah Jamuan Kenduri Rakyat, yang menyatukan penduduk dalam suasana penuh mesra. 

Lebih menceriakan, pelakon popular Azhan Rani turut turun padang membantu menyediakan hidangan, sambil melayan peminat yang tidak melepaskan peluang bergambar.

Pada malam kedua, kehadiran Azhan sekali lagi mencuri perhatian apabila dia bersama penduduk menyaksikan Wayang Pacak telefilem Bilal dan Abah, lakonannya sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron turut hadir memantau perjalanan karnival. 

Beliau menyifatkan penganjuran ini sebagai sebahagian daripada usaha TV AlHijrah mendekatkan dakwah dengan masyarakat luar bandar.

“Dakwah paling berkesan ialah yang turun ke bawah, bertemu rakyat. 

“Karnival seperti ini membolehkan kami mendengar suara mereka sambil menyampaikan mesej agama secara lebih dekat,” katanya.

Pengisian lain seperti Pertandingan Sukan Rakyat, rakaman Gema Haflah, serta rakaman Hijrah Berselawat bersama Mawi dan InTeam turut menarik ratusan pengunjung, memeriahkan lagi suasana karnival.

Hari ketiga menjadi penutup indah apabila majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Setia Dr.  Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada FELDA, penduduk setempat dan TV AlHijrah atas komitmen menjayakan program berskala besar ini.

Menurut beliau, penganjuran ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI serta kempen Islam Mekar di Bumi Malaysia, selain menyokong agenda pendigitalan dakwah, pemerkasaan institusi masjid dan pengukuhan ekonomi umat.

Majlis penutup turut memperlihatkan penghargaan dalam bentuk penyampaian hadiah dan sumbangan daripada Yayasan Taqwa Malaysia, TV AlHijrah dan Pejabat Menteri Hal Ehwal Agama kepada penduduk Felda Air Tawar 2 dan Felda Air Tawar 3.

Karnival Hijrah 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh harmoni, meninggalkan memori berharga kepada warga FELDA. 

Bukan hanya memupuk nilai kerohanian dan kekeluargaan, karnival ini membuktikan bahawa program berteraskan Islamik terus relevan dan tetap dekat di hati masyarakat malah dinanti-nantikan untuk penganjuran seterusnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This