Dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya. Sedar atau buat-buat tidak sedar, tanda-tanda itu sebenarnya sudah jelas di depan mata. Namun mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja dan rutin seharian, kita terlepas pandang hal ini. Cuba perhatikan, hampir segalanya adalah berlaku pada sudut pandang yang terbalik. Putih dikatakan hitam. Hitam pula dikatakan putih. Makruf dianggap mungkar dan mungkar pula dianggap makruf.
Ini terjadi disebabkan sistem yang kita pegang serta cara hidup zaman ini yang membenarkan sesiapa sahaja bebas bercakap dan bebas melontar pandangan. Atas nama hak kebebasan bersuara sesiapa sahaja bebas untuk mengutuk, mengkritik, membidas serta menegur tanpa ada batasan dan sekatan. Orang yang benar-benar ikhlas dan jujur kurang diberi peluang untuk bercakap. Sebaliknya peluang tersebut banyak didominasi sepenuhnya oleh watak-watak yang dungu dan jahil.
Perhatikan, orang-orang sebeginilah yang bebas bercakap dan bebas memberikan pandangan terutamanya di media sosial. Orang-orang sebegini jugalah pandangan mereka diterima ramai dan diyakini sedangkan pandangan daripada mereka yang benar-benar arif di dalam bidangnya dibakulsampahkan.
Maka berleluasalah penipuan dan penyelewengan. Berita-berita dan maklumat yang berbentuk fitnah, palsu, mengadu domba, melaga-lagakan pihak tertentu, menyebarkan prasangka, membentuk persepsi salah, membakar emosi, menanam subahat terhadap agama, menimbulkan rasa cemas pada masyarakat awam.
Akibatnya, masyarakat menjadi keliru, tidak tahu untuk bezakan siapa betul siapa salah. Tidak tahu hendak menilai baik dan buruk. Maka akan muncul keadaan di mana orang yang benar didustakan dan orang yang dusta dibenarkan. Orang yang amanah dianggap khianat dan orang yang khianat dianggap amanah. Inilah situasi yang kita hadapi hari ini. Keadaan sudah menjadi terbalik.
Dan inilah keadaan yang digambarkan oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya, “Akan datang kepada manusia tahun- tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.”Lalu ada yang bertanya kepada Nabi s.a.w: “Apa yang dimaksudkan Ruwaibidhah ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR. Ibnu Majah, disahihkan oleh al-Albani dalam as-Shahihah)
Apa yang diperkatakan oleh Nabi s.a.w dalam hadis ini adalah merupakan sebuah gambaran tentang situasi yang berlaku pada akhir zaman di mana kebenaran dan amanah akan terletak pada orang-orang yang jahil lagi fasik. Mereka ini dikenali sebagai al-Ruwaibidhah.

Apa itu al-Ruwaibidhah?
Al-Ruwaibidhah adalah sighah tashghir (pengecilan/perendahan) dari kata ar-Rabhidah yang bermaksud seseorang yang lemah dan tenggelam dalam hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya.
Para ulama mentafsirkan al-Ruwaibidhah kepada beberapa makna. Antaranya, riwayat di dalam musnad Ahmad mengatakan ar-Rabhidah ialah orang yang bodoh bercakap perkara umum. Dalam riwayat syarh Musykil al-Athar mendefinisikan ar-Rabhidah sebagai orang yang fasik bercakap perkara umum. Manakala Imam al-Syatibi di dalam al-‘itisham mendefinisikannya sebagai orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut.
Al-Ruwaibidhah adalah satu istilah yang asing pada zaman Nabi s.a.w. Ia adalah satu istilah gharib yang tidak diketahui oleh para sahabat sehinggakan mereka bertanya kembali kepada baginda minta diterangkan tentang maksudnya. Ada ketika Nabi s.a.w menggunakan istilah yang asing bagi menerangkan sesuatu perkara, misalnya Nabi s.a.w. sewaktu menerangkan tentang kelebihan solat jenazah. Baginda pernah menggunakan istilah qirad yang juga tidak diketahui maksudnya oleh para sahabat pada waktu itu.
Hadis ini adalah merupakan peringatan kepada umat Islam. Nabi s.a.w. telah memperingatkan kepada kita mengenai golongan al-Ruwaibidhah ini lebih 1,400 tahun yang lalu. Sewaktu baginda menyebutnya di hadapan para sahabat, semuanya termangu kerana tidak pernah mendengar akan istilah tersebut. Bahkan belum wujud lagi golongan al-Ruwaibidhah pada waktu itu.
Peringatan mengenai Ruwaibidhah ini adalah antara bukti kenabian Baginda s.a.w. dan antara salah satu daripada mukjizatnya. Baginda memberikan perkhabaran tentang perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Ia termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib. Jadi bagaimana Nabi s.a.w. boleh mengetahuinya? Ini tidak lain dan tidak bukan ia adalah wahyu dari Allah s.w.t.
Umat Muhammad s.a.w. yang hidup pada zaman ini dapat melihat keadaan tersebut dan merasai suasana serta kesannya. Kita jugalah generasi yang menjadi saksi akan kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis tersebut.
Fenomena Ruwaibidhah ini berkait rapat dengan kedatangan Dajal al-Masih. Seperti diketahui sebelum kemunculan Dajal, penipuan demi penipuan tersebar berleluasa sekali sehingga manusia mudah terpedaya dengan berita dan maklumat palsu yang tersebar.
Media-media sosial yang pesat berkembang pada hari ini menjadi medan pada golongan Ruwaibidhah ini menyebarkan penipuan dan penyelewengan seluas-luasnya. Pada mulanya berita-berita yang benar ditonjolkan untuk memancing kepercayaan, setelah berjaya mendapatkannya berita-berita dan maklumat palsu pula yang disebarkan. Maka sedikit demi sedikit berita dan maklumat palsu ini akan meracuni pemikiran manusia.
Golongan Ruwaibidhah bercakap tanpa ada batasan. Mereka bercakap ikut suka hati. Mereka lantang bersuara dalam apa jua isu sama ada yang berkait dengan agama, politik, ekonomi, undang-undang dan pelbagai lagi isu masyarakat padahal mereka bukanlah orang yang ahli dalam bidang tersebut. Mereka sewenang-wenangnya melontarkan kritikan dan memberikan pandangan serta mudah mengeluarkan hukum tanpa berlandaskan ilmu yang benar.
Sudah banyak contoh yang dapat kita lihat. Misalnya, orang yang tiada latar belakang agama bebas bercakap soal agama. Pandangan yang mereka bawa pula cenderung bertentangan dengan pandangan ulama muktabar. Mereka ini sengaja menimbulkan kekeliruan supaya pandangan agamawan tidak lagi dipeduli. Mereka mewujudkan persepsi buruk terhadap institusi agama supaya orang ramai tidak lagi mempercayai kata-kata agamawan. Akibatnya, ulama diperkotak-katik oleh masyarakat. Pandangan dan kata-kata ulama tidak lagi dihormati. Malah ulama boleh dikritik dan dibidas secara terbuka oleh masyarakat awam. Begitulah rendahnya taraf ulama mereka letakkan.
Al-Ruwaibidhah ini boleh jadi siapa-siapa sahaja. Malah dalam konteks ini tidak keterlaluan sekiranya netizen juga boleh termasuk di dalam kategori ini jika ada ciri-ciri tersebut. Bahkan orang agama juga tidak terkecuali sekiranya mereka juga ada ciri-ciri ini.
Ulama sekarang tidak sama dengan ulama dulu-dulu. Ulama dahulu menguasai pelbagai jenis bidang ilmu tetapi kebanyakan ulama yang ada pada hari ini hanya menguasai satu-satu bidang ilmu yang khusus sahaja. Contohnya ada yang hanya kuasai ilmu bahasa, ilmu hadis dan al-Quran, ilmu fikah, ilmu muamalat, ilmu tasawuf dan sebagainya.
Masalah timbul apabila ada segelintir orang agama ini yang suka mengulas dan suka memberikan pandangan tentang sesuatu perkara atau isu yang di luar bidang kepakaran mereka. Maka agamawan yang sebegini dikhuatiri boleh juga termasuk dalam golongan Ruwaibidhah.

Orang Khianat Disanjung
Dalam konteks politik moden hari ini, amalan memilih pemimpin (baik di peringkat parti mahupun negara) adalah berdasarkan suara majoriti. Dalam proses tersebut, berlakulah perang saraf, tawar-menawar atau percubaan untuk meletak dan menonjolkan diri bagi dilantik menjadi pemimpin. Terdapat pelbagai kaedah dan cara dilakukan untuk mendapatkan sokongan, yang antaranya termasuklah sogokan atau politik wang, juga tidak ketinggalan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.
Amalan seumpama itulah yang menjadi punca mengapa ramai pemimpin zaman sekarang dilantik dari kalangan orang yang tidak amanah. Golongan-golongan ini diangkat dan disanjung oleh masyarakat. Mereka masih terus diberikan kepercayaan sekalipun sudah banyak kali terpalit dengan skandal dan penyelewengan. Sebab itulah kita lihat berlakunya gejala rasuah dan penyelewengan. Disebabkan itu juga orang yang jujur dan amanah semakin terpinggir dan diketepikan dari arus perdana.
Jadi, apa kaitannya dengan dajal?
Secara tidak sedar fitnah dajal kini telah meresap jauh ke dalam jiwa kaum Muslimin sekarang. Di antara fitnah-fitnahnya ialah dajal memiliki syurga dan neraka padahal hakikatnya syurga tersebut adalah neraka dan neraka itu adalah syurga.
Jadi bukankah situasi kita pada hari ini lebih kurang sama bunyinya. Perkara yang benar didustakan dan perkara yang dusta dibenarkan. Secara tidak sedar kita sebenarnya telah dibawa ke dalam perangkap fitnah dajal. Dengan kejayaan memesongkan akidah umat Islam sejagat, maka ini akan memudahkan lagi tugas dajal besar apabila ia muncul kelak.
Dalam konteks ini apakah yang patut dilakukan? Atau apakah ada jalan keluar yang boleh dilalui dalam menghadapi bencana ini?
Salah satu sikap yang wajib ada pada diri seseorang Muslim adalah sentiasa memastikan apa jua maklumat dan berita yang diterima adalah daripada sumber yang sahih. Sikap ini penting bagi mengelakkan pelbagai bentuk fitnah dan tindakan salah akibat daripada berita yang tidak benar.
Allah s.w.t. berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (al-Hujurat: 6)
Para ulama menjadikan ayat ini sebagai panduan dalam menerima berita terutama sekali yang berkaitan dengan agama. Bahkan dari ayat tersebut lahir kaedah (ilmu) bagi memastikan kesahihan sesuatu hadis (merujuk ilmu rijal dan jarh wat ta’dil). Dengan ilmu tersebut Allah menjaga agama-Nya dan sunah Nabi-Nya daripada pelbagai penyelewengan dan pendustaan sehingga kriteria pembawa khabar (perawi) kepada hadis Nabi yang boleh diterima adalah sangat ketat syarat-syaratnya. Antara syaratnya, bukan seorang pendusta, tidak berbohong apabila menyampaikan, bukan seorang pelupa, bukan fasiq, seorang yang adil dan terpercaya, amanah serta beberapa lagi kriteria yang menepati syarat-syarat hadis sahih.
Ini adalah bukti betapa pentingnya manhaj dalam menerima sesuatu khabar atau berita daripada seseorang yang lain dalam kesarjanaan Islam. Keadaan ini sangat jauh bezanya dengan apa yang berlaku pada hari ini di mana masyarakat begitu mudah mempercayai pelbagai jenis khabar dan berita. Tidak cukup dengan itu mereka membantu pula menyebarkannya sedangkan mereka sendiri tidak pasti kesahihannya. Situasinya sama macam grup WhatsApp, dapat berita terus sebar tanpa diselidik benar atau palsu. Janji, kita adalah orang pertama yang sampaikan berita itu.
Dalam ayat lain Allah s.w.t. berfirman, “…Dan sekiranya mereka menyerahkannya kepada rasul dan ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui keabsahannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka.” (al-Nisa’: 83)
Satu lagi sikap yang perlu ada ialah menyerahkan segala urusan kepada pihak yang berautoriti dari kalangan ilmuwan (dalam bidangnya), para ulama (yang memahami agama) dan pihak berkuasa (pemerintah), bukannya diserahkan kepada masyarakat umum untuk menilai dan membincangkan sesuatu isu secara terbuka.
Dan firman Allah lagi yang bermaksud, “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Yaasin: 65)
Sandarlah kuat-kuat pada firman Allah ini. Ia adalah berupa amaran daripada-Nya. Maka berhati-hatilah bila mendengar sesuatu berita. Jangan terus percaya dan terus menyebarkannya pada orang lain. Jangan sesekali kita menjadi ejen kepada Dajal. Sebaiknya, biarkanlah berita itu berakhir setakat kita sahaja. Takut nanti akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.
Sabda Nabi s.a.w., “Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menyebarkan setiap apa yang didengarinya.” (HR Muslim)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

