Dignified: The Faisal Cup Story, dokumentari perintis angkat impian anak pelarian di Malaysia

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DALAM dunia filem Malaysia yang jarang menyentuh kisah pelarian, Dignified: The Faisal Cup Story muncul sebagai dokumentari perintis yang membuka mata tentang impian dan ketabahan anak-anak pelarian.

Karya ini mengangkat perjalanan sekumpulan remaja pelarian yang berani bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Stadium Nasional Bukit Jalil, simbol prestij yang sebelum ini seolah-olah tidak terbuka untuk mereka.

 Namun, di sebalik impian besar itu, tersingkap kisah yang lebih mendalam, tentang identiti, persahabatan, dan keinginan universal manusia untuk diterima sebagai insan bermaruah.

Sepanjang setahun, kamera mengikuti langkah anak-anak muda pelarian dan kurang berkemampuan ini.

Dengan disiplin luar biasa, mereka berlatih demi peluang yang hanya datang sekali seumur hidup. 

Perjalanan mereka membuktikan jika diberikan peluang, anak-anak pelarian mampu mencipta kejayaan yang menginspirasi.

Dokumentari ini menampilkan perspektif seorang guru dan jurulatih Malaysia, Jeremy Chin, serta dua remaja pelarian, Kurban Ali dari komuniti Rohingya dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myanmar. 

Hasilnya adalah potret intim, jujur dan menyentuh hati tentang pengorbanan, persahabatan, dan nilai maruah.

Filem ini menandakan karya sulung Hazel Desmond sebagai pengarah. 

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun sebagai wartawan, Hazel membawa sensitiviti kewartawanan ke dalam dokumentari, membiarkan kamera menangkap detik-detik yang tulen, rapuh, dan sarat emosi.

Kehalusan lensa Hazel disokong oleh kepakaran Steve Chao, penerbit eksekutif dan pengkarya dua kali tercalon Anugerah Emmy, terkenal dengan naratif kemanusiaan yang mendalam. 

Hasilnya, Dignified menjadi karya visual matang, elegan, dan berani menghadapi realiti tanpa sensasi murahan.

Hazel menjelaskan dokumentari ini tidak melihat anak-anak pelarian sebagai mangsa.

“Ia meraikan keberanian mereka untuk bermimpi dan membina semula jati diri melalui sukan,”kata Hazel.

Dignified turut menyorot sisi Malaysia yang jarang digambarkan, rakyat yang sudi membuka pintu, komuniti yang menghulur tangan, serta nilai ihsan yang masih hidup di tengah kerumitan dasar. 

Turut tampil dalam dokumentari ini ialah Miss Universe Malaysia 2011 dan aktivis kemanusiaan, Deborah Henry serta sokongan Menteri Belia dan Sukan iaitu Hannah Yeoh.

Kehadiran tokoh-tokoh ini memperkukuhkan kedudukan dokumentari sebagai karya penting yang merentas isu sukan, identiti, dan kemanusiaan.

Menurut UNHCR, setakat Oktober 2025, terdapat 211,360 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk 64,801 kanak-kanak di bawah 18 tahun. 

Angka ini menyumbang kepada statistik global pelarian yang mencecah 42.5 juta pada pertengahan 2025.

Dignified mengingatkan penonton di sebalik setiap angka, ada wajah. 

Di sebalik setiap wajah, ada cerita dan di sebalik cerita itu, ada impian kecil yang ingin didengari.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kaki drama bersorak! Viu & iQIYI bergabung tenaga, tawar pakej langganan ‘dua dalam satu’

BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari...

More Articles Like This