Jenama barang kemas mewah tempatan, J Jade & Jewel, melakar satu lagi pencapaian apabila melancarkan ruang pameran eksklusif “Jade Holiday Pop-Up” di The Starhill, Bukit Bintang mulai 9 hingga 21 Disember.
Diasaskan oleh gemologis Malaysia, Mandy Ong, jenama ini terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen barang kemas premium menerusi rekaan kontemporari yang mengekalkan keaslian jade gred A sebagai bahan teras.

Pop-up kali ini menjadi lebih istimewa dengan pelancaran siri terbaharu “Galaxy Aura”, hasil inspirasi elemen kosmos dan cahaya bintang. Koleksi ini menyerlahkan sentuhan romantis yang sepadan dengan suasana perayaan hujung tahun.

Mandy Ong ketika ditemui berkata, J Jade & Jewel sentiasa berusaha membawa pembaharuan dalam dunia jade yang sering dianggap tradisional.
“Kami mahu memperlihatkan keindahan jade dalam bentuk moden, namun tetap mengekalkan seni ketukangan halus dan nilai eksklusifnya. Setiap rekaan membawa cerita dan identitinya tersendiri,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2016, J Jade & Jewel telah memperkenalkan rangkaian barangan kemas tersuai dan koleksi sedia pakai yang lebih dekat dengan gaya hidup masyarakat masa kini.
Selain Galaxy Aura, pengunjung turut berpeluang melihat dua koleksi lain seperti Iconique J dan Forest Glow.
Koleksi Galaxy Aura menjadi tarikan utama apabila rekaannya memancarkan kilauan halus ibarat sinaran bintang di angkasa, simbolik kepada keanggunan dan keabadian.

Bagi menambah keterlibatan pengunjung, J Jade & Jewel turut menganjurkan permainan interaktif ‘Cabaran Buka Kunci’. Pengunjung hanya perlu mengikuti akaun media sosial jenama itu serta memuat naik gambar di ruangan pop-up.
Hadiah berupa baucar bernilai sehingga RM500 daripada J Jade & Jewel, Kel Saloon Fine Dining dan J’adore Atelier menanti pemenang bertuah.

Salah satu tarikan visual di pop-up ini ialah ruang bergambar bertema ‘taman ungu’, dihiasi kubah bunga dan pantulan cermin yang mencipta suasana seakan berada di taman fantasi. Ruang ini menjadi lokasi wajib untuk peminat fotografi merakam gambar kenang-kenangan.
‘Jade Holiday Pop-Up’ dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam di Entrance Foyer, The Starhill, sehingga 21 Disember.

