Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) memasuki fasa baharu dalam perjalanannya apabila melancarkan logo baru organisasi mereka dan merasmikan Pejabat Sekretariat NASOM bertempat di di Unit B-3-3, Pacific Place Commercial Centre, Ara Damansara di Petaling Jaya, Selangor.
Langkah ini menandakan perubahan identiti dan hala tuju organisasi yang sudah berusia lebih tiga dekad ini sebagai penggerak utama dalam perkhidmatan dan advokasi golongan autisme di Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad.

Logo baharu tersebut direka bagi menggambarkan wajah NASOM yang lebih moden, progresif dan seiring tuntutan masa kini, sekali gus menzahirkan tekad persatuan untuk terus memimpin usaha memperjuangkan hak serta kualiti hidup individu autisme.
Menurut NASOM, identiti visual ini bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi merupakan simbol kepada evolusi pemikiran dan hala tuju baharu yang lebih inklusif.
Ia mencerminkan komitmen organisasi untuk terus mendengar suara komuniti autisme, memahami keperluan keluarga serta memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap individu dalam spektrum ini.
“Logo baharu ini merupakan medium pemerkasaan yang mencerminkan komitmen NASOM untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme dan keluarga mereka. Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong, selaras dengan misi kami untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme,” ujar Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin.
Logo baru NASOM hasil karya ibu bapa kepada anak autisme ini memaparkan simbol infiniti dan dua titik air. Infiniti melambangkan kepelbagaian neurologi dan menegaskan bahawa perbezaan seperti autisme bukan kekurangan, tetapi sebahagian daripada kepelbagaian manusia. Manakala simbol dua titik air bermaksud fleksibiliti, iaitu sifat air yang sentiasa menyesuaikan diri yang menggambarkan keupayaan komuniti autisme menghadapi pelbagai cabaran.
Logo tersebut diserikan dengan tiga warna yang membawa simbolik tersendiri. Warna merah jambu bermaksud kasih sayang, kelembutan dan empati. Warna firus simbol kepada ketenangan, kestabilan emosi dan kehangatan. Manakala biru pula membawa makna kepercayaan, kesetiaan dan rasa selamat.

Pengerusi NASOM, Julian Wong berkata, pejabat baharu ini akan menjadi pusat gerak kerja utama bagi memperkukuh perkhidmatan serta mendekatkan sokongan kepada komuniti autisme. Di sinilah perancangan, kerjasama dan inisiatif baharu akan digerakkan untuk membuka lebih banyak peluang penyertaan dalam masyarakat.
Sudah lebih 38 tahun ditubuhkan, NASOM telah bekerjasama dengan lebih 100 organisasi termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan, universiti dan industri kecil. Semuanya untuk memperluaskan kefahaman serta menyediakan peluang inklusif kepada individu autisme.
NASOM akan terus menggerakkan pelbagai aktiviti seperti pameran kesedaran, bazar, wacana, siaran langsung panel pakar, program kutipan dana dan pertunjukan bakat melibatkan individu autisme.
Sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, NASOM amat bergantung kepada sokongan masyarakat dan sumbangan awam untuk memastikan perkhidmatan ini dapat terus disalurkan.
Sejak ditubuhkan pada 3 Mac 1987, NASOM komited menyediakan sokongan sepanjang hayat melalui program intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran. Kini, NASOM mengendalikan 18 pusat di seluruh negara dengan lebih 400 pelajar dibantu oleh 120 kakitangan termasuk guru terlatih.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

