Kalau di Malaysia ada kisah pontianak, balan-balan, hantu air dan banyak lagi, kali ini kami nak ceritakan tentang Tikbalang pula. Dengar namanya pun lain macam, bukan?
Tikbalang ini adalah ‘hantu’ dari Filipina. Ia digambarkan sebagai penjaga hutan, makhluk yang berkepala kuda dan bertubuh manusia. Dalam legenda Filipina, makhluk ini turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Tigbalang, Tigbalan, Tikbalan dan Tigbolan. Sesetengah penulis Barat memanggilnya sebagai Werehorse. Kononnya, Tikbalang berkeliaran di kawasan hutan dan banjaran gunung, jauh dari pandangan mata manusia.
Tikbalang memiliki kuku yang keras dengan tubuh yang panjang dan ganjil sehingga lututnya boleh mencecah ke atas kepala apabila ia mencangkung. Di kawasan-kawasan kampung, kisah Tikbalang masih lagi diceritakan oleh orang-orang lama.

Asal-usul Tikbalang dikatakan bermula empat ribu tahun yang lalu melalui pengaruh Hindu. Ini memberi petunjuk bagaimana rupa makhluk separuh manusia separuh kuda itu bermula.
Masyarakat purba Filipina ketika itu mengamalkan fahaman animisme. Mereka percaya bahawa alam mempunyai roh yang hidup dan bergerak bebas melalui gunung, batu, laut, matahari, pokok dan bulan. Setiap unsur alam ini dipercayai mempunyai kuasa tertentu. Ada yang baik, ada pula yang membawa malapetaka.
Antara catatan terawal mengenai Tikbalang datang daripada penjajahan Sepanyol pada abad ke-16. Seorang paderi bernama Juan de Plasencia menulis bahawa Tikbalang merupakan kepercayaan lama masyarakat peribumi.
Beliau menggambarkan makhluk itu sebagai hantu atau syaitan yang sering muncul di kawasan gunung dalam pelbagai bentuk. Ia boleh menyerupai lelaki tua, seekor kuda atau seperti sosok raksasa aneh. Ketakutan menyebabkan penduduk telah membuat upacara tertentu untuk mendapatkan perlindungan supaya tidak diganggu makhluk itu.
Kisah Tikbalang juga dikaitkan dengan kedatangan agama Hindu yang tersebar dari India ke Asia Tenggara sekitar tahun 200 Masihi. Walaupun tiada makhluk dalam mitologi Hindu yang gambarannya sama seperti Tikbalang, ada kemungkinan ia lahir daripada imej Hayagriva, avatar berkepala kuda kepada Dewa Vishnu.
Teori ini semakin kuat apabila sebuah arca abad ke-10 ditemui di Cambodia pada tahun 1860, menampilkan makhluk jahat (demon) yang berkaitan dengan dewa Vishnu, tetapi dalam bentuk yang lebih ekstrem atau menakutkan daripada gambaran Vishnu yang biasa. Salah satu ukirannya menyerupai bayangan Tikbalang. Dari situ pengkaji percaya pengaruh budaya India melalui perdagangan telah sampai ke masyarakat Filipina.

Menariknya, gambaran Tikbalang sebagai makhluk berkepala kuda hanya muncul selepas kedatangan Sepanyol pada abad ke-16, kerana sebelum itu, kuda belum wujud di Filipina. Catatan awal langsung tidak menyebut bentuk kuda, namun Tikbalang lebih digambarkan sebagai roh hutan atau entiti liar.
Kepercayaan & Pantang Larang
Dalam cerita lama, Tikbalang sering dikaitkan dengan perbuatannya yang suka menyesatkan manusia, membuatkan mereka berpusing-pusing di dalam hutan, sesat dan hilang arah tanpa disedari.
Beberapa petua lama dikaitkan untuk mengelakkan gangguan makhluk ini. Antaranya, masuk ke dalam hutan dengan memakai baju secara terbalik. Kononnya dengan cara ini Tikbalang tidak dapat memperdayakan manusia.
Selain itu, disarankan untuk ‘meminta izin’ sebelum melintasi hutan. Juga tidak berbuat bising supaya tidak membuatkan Tikbalang terganggu.
Sesetengah legenda menggambarkan Tikbalang sebagai makhluk jahat, namun ada juga versi yang melihatnya sebagai penjaga alam yang melindungi hutan.
Di Filipina, ada satu pepatah yang menyebut, “Bila hujan turun ketika langit cerah, itu bermakna Tikbalang sedang berkahwin.” Pepatah ini mirip kepercayaan orang Sepanyol tentang perkahwinan ahli sihir apabila hujan turun pada hari panas.
Namun ada satu kepercayaan menarik yang mengatakan makhluk ini boleh dijinakkan. Tikbalang mempunyai rambut surai (rambut panjang yang tumbuh di leher atau belakang kepala Tikbalang seperti kuda).
Dikatakan surai ini bukan sekadar rambut biasa, tapi dipercayai mengandungi duri atau rambut keramat yang mempunyai kuasa mistik. Jika manusia berjaya merampas salah satu duri tersebut, mereka boleh menggunakannya sebagai azimat untuk mengawal Tikbalang.
Bagaimana hendak mendapatkannya? Manusia perlu melompat ke belakang Tikbalang, mengikatnya dengan tali khas dan bertahan sehingga makhluk itu letih. Dalam versi lain, sesiapa yang berjaya mencabut tiga urat emas dari surainya akan dilayan oleh Tikbalang seumur hidup.
Walaupun zaman berubah, Tikbalang masih hidup dalam kepercayaan masyarakat Filipina. Di sesetengah kawasan pendalaman, penduduk tetap percaya ia wujud dan berhati-hati jika perlu masuk ke dalam hutan.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

