Sebelum wujudnya zaman media sosial yang memudahkan orang mencari jodoh, zaman dahulu ada bermacam-macam cara dilakukan untuk mencari pasangan. Salah satunya ialah pokok penemu jodoh ini.
Digelar sebagai ‘Bridegroom’s Oak’, ia merupakan sebatang pokok oak yang terletak di hutan Dodauer Forst, berhampiran Eutin di Schleswig-Holstein, Jerman.
Pokok yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun ini diiktiraf sebagai monumen semula jadi. Tahukah anda, ia merupakan pokok pertama di dunia yang mempunyai alamat dan poskodnya sendiri.

Apa yang membuatkan pokok ini begitu istimewa?
Menurut legenda, ia ditanam sebagai tanda terima kasih oleh anak kepada seorang ketua puak Celtic yang pernah diikat pada sebatang pokok di hutan itu sebelum dibebaskan oleh seorang gadis Kristian.
Namun, sejarawan percaya kisah itu hanyalah rekaan para mubaligh Kristian untuk menggalakkan pemujaan terhadap pokok oak dalam kalangan masyarakat pagan zaman dahulu.
Selain itu, ada kepercayaan yang diwarisi turun-temurun bahawa seorang gadis perlu berjalan mengelilingi pokok itu sebanyak tiga kali ketika bulan mengambang, sambil memikirkan insan yang dicintainya. Kononnya, gadis itu akan berkahwin dalam tempoh setahun selepas melakukan ritual tersebut.
Namun, di sebalik pelbagai kepercayaan pokok ini, kisah yang membuat pokok ini digelar Bridegroom’s Oak bukanlah cerita dongeng. Ia bermula dengan surat-surat cinta.

Lebih 100 tahun lalu, terdapat seorang gadis bernama Ohrt yang jatuh cinta dengan anak kepada seorang pembuat coklat. Tetapi, ayah gadis itu tidak merestui hubungan tersebut.
Pun begitu, cinta mereka tetap terjalin. Kedua-duanya saling berutus surat secara rahsia dengan meninggalkannya di dalam lubang yang terdapat pada batang pokok oak ini. Akhirnya hati si ayah yang keras menjadi lembut. Pasangan itu akhirnya berkahwin di bawah rimbunan pokok tersebut pada 2 Jun 1891.
Kisah tersebut telah tersebar dari mulut ke mulut. Dalam masa beberapa tahun, orang ramai mula menulis surat dengan harapan akan bertemu jodoh, lalu memasukkannya ke dalam lubang pokok itu.

Populariti pokok ini melambung sehingga pada tahun 1927, jabatan pos Jerman telah memberikan pokok itu alamat beserta kod posnya sendiri supaya sesiapa sahaja di seluruh negara boleh mengutus surat kepadanya.
Bräutigamseiche, Dodauer Forst, 23701 Eutin, Germany – Itulah alamat pokok tersebut.
Surat yang dikirimkan ke alamat itu akan dimasukkan ke dalam sebuah lubang kecil pada batang pokok itu. Lubang itu tingginya kira-kira tiga meter dari tanah, boleh dicapai menggunakan tangga kayu yang disediakan di situ. Ia berfungsi seperti kotak surat awam. Sesiapa sahaja boleh membuka, membaca, mengambil atau membalas surat-surat yang ditinggalkan di dalamnya.
Sejak pokok ini dibuka untuk penghantaran surat, sudah ribuan orang menulis surat kepadanya dalam tempoh lebih 100 tahun. Bermula hanya pengirim dalam Jerman sahaja, ia boleh tersebar luas sehingga banyak surat dari luar negara turut sampai.

Menurut cerita, ramai yang menghantar surat ke pokok ini telah mendapat pasangan hidup. Dikatakan sudah lebih 100 perkahwinan terhasil kerana saling berbalas surat yang bermula daripada pokok ini.
Salah seorang pekerja pos yang menghantar surat ke pokok itu selama lebih 20 yahun, Karl Heinz Martens, juga bertemu jodohnya melalui sepucuk surat yang ditulis isterinya yang dialamatkan kepada pokok itu.
Pada tahun 2009, pokok oak ini secara simbolik telah ‘dikahwinkan’ pula dengan Himmelgeist Chestnut, sebatang pokok berangan di Düsseldorf yang merupakan pokok kedua di Jerman yang memiliki alamat pos sendiri.
Sehingga hari ini walaupun zaman sudah moden, Bridegroom’s Oak masih terus menerima surat misteri dari mereka yang mencari keajaiban dalam percintaan.

NOTA : Kisah pokok ini sekadar bacaan untuk pengetahuan umum sahaja. Untuk umat Islam, jangan pula terikut dengan kepercayaan begini. Islam menegaskan bahawa rezeki jodoh datang daripada doa, ikhtiar yang betul dan tawakal, bukan melalui kepercayaan yang bercanggah dengan akidah.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

