Pencinta masakan Melayu kini mempunyai satu lagi destinasi baharu untuk menikmati kepelbagaian juadah tradisional yang diberi nafas moden menerusi pembukaan IRAMA Signature di IOI City Mall, Putrajaya.
IRAMA Signature merupakan restoran utama di bawah Irama Dining Group (IDG) yang tampil dengan konsep unik “8 Jenama, 1 Destinasi Rasa”, menghimpunkan hidangan terbaik daripada lapan jenama kumpulan itu di bawah satu bumbung moden dan elegan.
Pengasas IRAMA Signature, Arshad Kamarulzaman berkata, idea penubuhan restoran tersebut tercetus daripada keinginan untuk menyatukan menu istimewa yang sebelum ini hanya boleh dinikmati di outlet berasingan.
“IRAMA Signature ini adalah restoran yang menggabungkan semua masakan dan menu istimewa daripada outlet kami. Setiap hidangan mewakili identiti setiap jenama, sebab itu kami namakan ia sebagai Signature,” katanya.

Turut bergandingan dalam menjayakan konsep ini ialah isterinya, Bella Arshad, serta pasangan adik-beradik kembar Ikhwan Siru dan Ikmal Siru yang menjadi rakan kongsi strategik dan nadi operasi restoran.
Menariknya, IRAMA Signature menawarkan sebanyak 199 menu yang dicipta khas berdasarkan hidangan paling popular, paling disyorkan dan paling digemari pelanggan sejak hampir sedekad perjalanan IDG.
Arshad menjelaskan, pendekatan fusion digunakan bagi memodenkan masakan Melayu tanpa menghilangkan identiti asalnya.


“Kami fusionkan masakan Melayu. Bukan Melayu klasik sepenuhnya, tetapi versi moden yang lebih segar dan relevan.
“Sebagai contoh, hidangan Masak Salai Lemak Itik diolah menggunakan krim menggantikan santan, menghasilkan rasa yang lebih ringan tetapi masih mengekalkan elemen tradisional,” tambahnya lagi.
Antara menu tumpuan lain ialah Pais Baramundi, Udang Sambal Hijau Betan, Nasi Goreng Wagyu dengan 100 gram potongan daging wagyu, serta Otak-Otak Kukus yang menjadi kegemaran peribadi pengasas.
Diilhamkan sebagai restoran mesra keluarga, IRAMA Signature mampu menampung sekitar 148 hingga 150 tetamu pada satu-satu masa. Walaupun tampil dengan suasana premium, harga yang ditawarkan kekal berpatutan, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM150 untuk keluarga lima hingga enam orang.

Kemudahan lain termasuk tiga bilik makan peribadi serta keupayaan menyediakan bufet sehingga 150 tetamu, menjadikannya sesuai untuk majlis keluarga, sambutan kecil dan acara korporat.
Dari segi reka bentuk dalaman, restoran ini mengekalkan aura Melayu moden yang elegan. Antara tarikan visual utama ialah IRAMA Portrait, hasil karya pelukis Andharas, yang menggambarkan simbol hospitaliti Melayu dalam gaya kontemporari.
Menurut Ikhwan Siru, pemilihan IOI City Mall bukan keputusan mudah memandangkan persaingan tinggi lokasi strategik, namun permintaan pelanggan dari Bangi, Putrajaya dan Kajang menjadi faktor penentu.

Sebelum ini, IDG turut mempertimbangkan beberapa lokasi utama lain termasuk Bangsar, TRX dan One Utama, namun Putrajaya dilihat paling sesuai dengan pasaran sasarannya.
Bagi keempat-empat pengasas, IRAMA Signature bukan sekadar pembukaan restoran baharu, sebaliknya menjadi penanda aras kepada fasa seterusnya IDG.
“Kami mahu IRAMA Signature berkembang sebagai restoran Melayu moden yang boleh dibuka di banyak lokasi di Malaysia, dan seterusnya menuju ke IPO. Ini adalah langkah besar kami,” kata Arshad.

