Kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat semakin meningkat seiring dengan pembukaan cawangan ke-99 kelab kecergasan Anytime Fitness (AF) di Hampshire Tun Razak, yang menjadi cawangan pertama jenama itu beroperasi di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Bagi pemilik francais, Jayagobi Shanmugam, pembukaan kelab ke-12 miliknya di bawah syarikat Dynamic AF Fitness Sdn. Bhd. bukan sekadar peluasan perniagaan, sebaliknya satu langkah strategik membawa konsep kecergasan komuniti ke persekitaran bandar yang sibuk namun masih dikelilingi kehijauan alam.

Menurutnya lagi, keputusan beralih daripada pasaran pinggir bandar kepada pasaran bandar dibuat selepas perbincangan bersama isterinya yang juga rakan kongsi perniagaan, Subhadra Devi, selepas melihat permintaan tinggi daripada golongan profesional yang bekerja di kawasan pusat kota.
“Cawangan ini dibuka hasil kajian pasaran yang mendapati ramai pekerja di kawasan ini mahukan ruang untuk bersenam selepas waktu kerja. Ia satu ujian besar kepada model perniagaan kami, namun kami yakin dengan kekuatan jenama dan komuniti yang dibina,” katanya.
Mengulas hala tuju industri kecergasan, Jayagobi berkata, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan perubahan ketara apabila kecergasan tidak lagi tertumpu kepada senaman fizikal semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi ekosistem kesejahteraan menyeluruh.
“Kini, kecergasan adalah gaya hidup. Anytime Fitness membina ekosistem melalui teknologi terkini dari Amerika Syarikat, termasuk aplikasi diperibadikan dan mesin interaktif yang sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk warga emas kerana aspek keselamatan amat dititikberatkan,” jelasnya.
Kelab itu dilengkapi peralatan bertaraf tinggi jenama Life Fitness, selain menawarkan akses ke lebih 5,000 kelab Anytime Fitness di seluruh dunia hanya dengan satu keahlian.
Beroperasi 24 jam sehari, kelab di Hampshire Tun Razak kini mempunyai sekitar 700 ahli dan menyasarkan 1,200 ahli, majoritinya terdiri daripada golongan profesional dan ekspatriat. Yuran keahlian pula antara RM170 hingga RM199 sebulan, menjadikannya kompetitif dan mampu milik.
Selain kemudahan senaman, ahli turut menikmati kelas percuma seperti zumba, yoga dan pilates serta bimbingan jurulatih peribadi yang membantu ahli memulakan perjalanan kecergasan mereka.
“Konsep kami ialah own gym, di mana ahli rasa seperti di rumah. Mereka datang bukan untuk bina badan semata-mata, tetapi untuk rasa selesa, sihat dan bersosial. Dari situlah komuniti terbina,” katanya.
Dalam masa sama, Jayagobi turut menekankan peranan sosial perniagaannya dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kesemua kakitangan dan jurulatih peribadi di bawah pengurusannya adalah 100 peratus rakyat Malaysia, selain bekerjasama dengan PERKESO bagi membantu golongan menganggur mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, kadar obesiti dan risiko penyakit jantung yang tinggi di Malaysia menjadi antara faktor pendorong untuk terus mengembangkan jenama ini.
“Kita hanya benar-benar mengenali tahap kesihatan diri apabila mula bersukan. Mindset adalah kunci untuk mengekalkan gaya hidup sihat. Kecergasan hari ini adalah tentang rasa sihat, yakin dan selesa dengan diri sendiri,” katanya.

Jayagobi memulakan perjalanan dalam industri kecergasan pada tahun 2017 dengan pembukaan kelab Anytime Fitness pertamanya di KL Gateway, Bangsar South ketika jenama itu hanya mempunyai 17 kelab di seluruh negara.
Kini, beliau muncul sebagai pemilik francais tunggal terbesar Anytime Fitness di Malaysia, tanpa sokongan pelabur luar atau dana asing, dengan 12 kelab beroperasi di sekitar Lembah Klang. Setiap kelab memerlukan kos pelaburan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta.
Menjelang 2026, pasangan ini menyasarkan pembukaan tujuh lagi kelab baharu, khususnya di kawasan strategik pusat bandar Kuala Lumpur.

