ZAMRY berjalan ke hulu dan ke hilir tanpa arah. Mulutnya tidak berhenti-henti mengomel. Entah apa yang dingomelkannya sejak dari pagi tadi lagi. Mak Zamry berasa amat takut kerana selepas mengalami kemalangan jalan raya dua bulan lepas, Zamry lebih banyak mendiamkan diri dan bercakap seorang diri. Sikap panas barannya juga makin menjadi-jadi.
Setiap petang, Zamry akan merayau di dalam kampungnya. Perubahan sikap itu membuatkan orang kampung takut untuk mendekatinya. Dia tidak seperti Zamry yang dulu, ceria, peramah dan boleh dibawa berbincang mengenai sesuatu masalah.
Tetapi pemuda berusia 25 tahun ini sekarang mudah naik angin. Kadang-kadang perangai Zamry elok dan tenang, tetapi kadang-kadang dia tiba-tiba saja marah hanya disebabkan oleh perkara-perkara kecil. Hal inilah merisaukan penduduk sebuah kampung di pantai timur tanah air itu.
Oleh kerana risau anaknya akan terus tertekan, ibu Zamry meminta Wak Leman memberikan pekerjaan kepada anaknya itu. Wak Leman bersetuju mengambil Zamry bekerja sebagai tukang membuat rumah.
Ketika mula-mula Zamry bekerja, perangainya kembali normal seperti dahulu. Dia kembali riang dan boleh dibawa berbincang. Wak Leman juga senang mengarahkannya membuat itu dan ini. Cara kerjanya juga amat baik dan memuaskan hati Wak Leman. Tambahan lagi, Zamry seorang yang sangat rajin.
Sebulan bekerja, perangai Zamry mulai berubah. Dia tidak boleh ditegur langsung. Jika ditegur, Zamry mudah merajuk dan tidak mahu datang bekerja. Jika datang kerja pula, lewat dan balik pula ikut suka hatinya. Wak Leman tetap bersabar dengan sikap Zamry.

Suatu petang, ketika Zamry sedang membuat bumbung rumah, dia telah ditegur oleh Pak Ngah Derus. Pak Ngah Derus ini memang selalu bergurau dengan Zamry.
“Zamry!!! Duduk elok-elok, nanti jatuh patah kaki, jadi tak hensem pulak!” seloroh Pak Ngah Derus sambil ketawa kecil.
Zamry memandang tepat ke wajah Pak Ngah Derus tanpa mengukir sedikit pun senyuman. Hatinya panas bila mendengar gurauan Pak Ngah Derus. Dia berasa makin marah apabila dia mendengar Pak Ngah Derus ketawa sambil memandang-mandang ke arahnya. Dalam fikiran Zamry, Pak Ngah Derus mahu mengejeknya, padahal Pak Ngah Derus hanya mahu bergurau sahaja.
Malam itu, hati Zamry tidak tenang. Dia sentiasa teringatkan kata-kata Pak Ngah Derus. Dia tidak menganggap Pak Ngah Derus bergurau, tapi mengejeknya. Bila teringat sahaja peristiwa itu, Zamry menjadi sangat marah. Mulutnya juga tidak henti-henti memaki-hamun Pak Ngah Derus.
Pukul 2.00 pagi, Zamri turun dari rumahnya. Fikirannya masih lagi tidak tenang. Dia tidak dapat melelapkan matanya. Hampir 10 minit mundar-mandir depan rumah, Zamry pun mengatur langkah menuju ke rumah Pak Ngah Derus.
Zamry melilau-lilau di depan rumah orang tua itu. Dia nampak lampu rumah Pak Ngah Derus masih belum dimatikan. Mungkin ada lagi orang yang masih belum tidur.
Zamry terus mundar-mandir sambil mulutnya terkumat-kamit seperti sedang mengatakan sesuatu. Sekejap-sekejap dia memandang rumah Pak Ngah Derus.
Hampir sejam terkayan-kayan di situ, Zamry pun mengambil tangga di tempat dia bertukang. Jarak antara rumah Pak Ngah Derus dengan tempat Zamry bekerja hanyalah 70 meter sahaja. Rumah Pak Ngah Derus pula jauh dari rumah jiran-jiran.
Zamry sandarkan tangga itu di rumah Pak Ngah Derus dan memanjatnya untuk masuk ke dalam rumah orang tua berkenaan. Ketika baru sahaja hendak memanjat tangga, Zamry ternampak sebilah kapak yang terlekat di sebatang tunggul kayu berhampiran rumah Pak Ngah Derus.
Zamry mencapai kapak itu dan terus memanjat tangga. Semasa Zamry masuk ke dalam rumah, dia mendapati semua orang telah tidur. Ada empat orang tidur di ruang tamu. Semuanya masih kecil, berusia antara lima hingga sepuluh tahun.
Zamry melangkah budak-budak itu dan perlahan-lahan ditolaknya pintu bilik Pak Ngah Derus. Bila sahaja ternampak wajah Pak Ngah Derus sedang tidur, hati Zamry dengan tiba-tiba menjadi panas. Dia teringat kata-kata gurauan Pak Ngah Derus petang tadi. Zamry pun menghampiri Pak Ngah Derus dan menetak kepala orang tua itu.
“Allahuakhbar!” jerit Pak Ngah Derus.
Mak Munah, isteri Pak Ngah Derus terkejut dengan jeritan suaminya itu. Dia terjaga dan terperanjat melihat Zamry sedang menetak-netak suaminya beberapa kali menggunakan kapak.
Mak Munah menjerit ketakutan. Bila sahaja Mak Munah menjerit, Zamri pun menetak lehernya menyebabkan Mak Munah rebah ke lantai. Jeritan Mak Munah itu didengari oleh anak perempuannya yang berada di bilik sebelah.
Anak perempuan Pak Ngah Derus, Intan namanya, terus datang menjenguk ibunya. Intan terkejut apabila melihat ayah dan ibunya berlumuran darah. Dia terus berlari mahu turun ke bawah rumah untuk meminta bantuan. Tetapi baru sahaja mahu membuka pintu, Zamry datang melulu dan menetaknya dari arah belakang. Intan terus rebah berlumuran darah.
Keempat-empat cucu Pak Ngah Derus masih lagi nyenyak tidur. Mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Zamry pun mendekati kanak-kanak tersebut dan…
ZAPPP… ZAPPP… ZAPPP… ZAPPP…
Menggelupur budak-budak itu bila Zamry menyembelih seorang demi seorang. Zamry ketika itu memang sudah hilang pertimbangan. Selepas menyembelih, Zamry ketawa terbahak-bahak.

Petang esoknya, anak sulung Pak Ngah Derus yang bernama Jamil datang ke rumah untuk menjenguk anak-anaknya. Semasa sampai di depan rumah ayahnya, Jamil berasa hairan apabila melihat lampu rumah tidak dimatikan. Sedangkan ketika itu jam menunjukkan pukul 2.00 petang.
Jamil memberi salam beberapa kali. Tetapi tidak bersambut. Selepas itu dia terdengar pula suara budak yang mengerang kesakitan. Jamil pun terus memecahkan pintu. Alangkah terkejut Jamil bila dia ternampak adiknya Intan terlentang di depan pintu dengan berlumuran darah.
Jamil berlari ke bahagian atas rumah dan meraung apabila melihat keempat-empat anaknya terkujur di lantai. Mujurlah dua orang daripadanya masih lagi bernyawa. Jamil segera menelefon polis dan ambulans untuk mendapat kan bantuan.
Selesai menelefon polis, Jamil menjenguk ayah dan ibunya di dalam bilik. Bila sahaja diselak langsir pintu bilik, dia nampak dua mayat terkujur bermandi darah!
Polis dan ambulans sampai 30 minit kemudian. Pemeriksaan dibuat, polis menjumpai kapak yang digunakan untuk menetak mangsa-mangsa. Pihak polis juga kemudiannya berjaya menemui siapa sebenarnya yang melakukan pembunuhan itu.
Zamry mula diburu polis tetapi dia sudah menghilangkan diri. Berita ini heboh ke seluruh kampung. Para penduduk menjadi takut untuk keluar rumah. Kedai runcit dan kedai kopi di kampung itu semuanya ditutup.
Selepas tiga hari diburu oleh pihak polis, akhirnya Zamry berjaya diberkas. Dia dijumpai bersembunyi dalam sebuah hutan kecil berhampiran projek kuari di kawasan itu.
Apabila disoal siasat, akhirnya Zamry mengaku memang dia yang melakukan pembunuhan itu. Zamry dihadapkan ke mahkamah dan keputusannya, dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Peristiwa ini masih segar dalam ingatan penduduk.
NOTA: Kejadian ngeri ini berlaku pada penghujung tahun 1998 di sebuah negeri di pantai timur. Ketika pembunuhan berlaku, terdapat tujuh orang di dalam rumah itu. Lima mati (Pak Ngah Derus, Mak Munah, Intan dan dua orang cucu) manakala dua lagi cedera parah (dua orang cucu Pak Ngah Derus). Peristiwa ini pernah diceritakan oleh penduduk di kampung itu kepada wartawan Mastika. Bagaimanapun kami tidak dapat memperincikan identiti mereka yang terlibat dan tempat kejadian atas faktor-faktor yang tidak dapat dinyatakan di sini.
Nasihat Mastika: Jangan pandang enteng kepada masalah penyakit mental. Ia tidak wajar dipandang ringan. Jika dibiarkan tanpa rawatan atau sokongan sewajarnya, pesakit mungkin hilang keupayaan untuk berfikir secara rasional, mengawal emosi atau membezakan realiti dan khayalan, sekali gus mendorong mereka melakukan perbuatan berisiko tinggi termasuk membunuh. Rawat dan ubatinya segera sebelum berlaku perkara-perkara yang lebih teruk.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

