SEORANG penuntut kolej yang memandu kereta jenis Toyota Vios didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam nahas di Jalan Ampang, dua minggu lalu.
Tertuduh, Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki yang hadir ke mahkamah memakai baju berwarna putih berbelang hitam itu.
Ini kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh A.Doraisingam, 61, dan isterinya A.Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point pukul 5.30 pagi pada 2 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu, memperuntukkan hukuman mati, atau boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 17 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi sementara tertuduh diwakili peguam, Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.
Sebelum ini media melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Ampang di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.34 pagi melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sama.

