“APA lagi yang perlu kita tunggu? Tarik je (sahaja) sokongan daripada kerajaan ini.”
Itu kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selepas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, didakwa mengeluarkan kenyataan keterlaluan mengenai nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr Muhamad Akmal turut meminta semua perwakilan yang akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak lama lagi untuk berani membawa suara menarik sokongan daripada kerajaan.
“Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini!
“Saya minta semua perwakilan yang akan datang ke PAU tidak lama lagi, senada dan berani bawa suara rakyat dan akar umbi orang Melayu di bawah ini.
“Biar PAU kali ini sekali lagi digegarkan dengan menjadi medan suara keramat orang Melayu! Jangan takut, jangan gentar!,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: ‘Mungkin sudah tiba masa UMNO perhalusi kerjasama’, kata Asyraf Wajdi
Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut secara sinis memberi pesanan kepada Bee Yin bahawa alasan untuk meraikan tahun ini adalah apabila DAP ditolak secara total di Sabah.
Terdahulu, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran ‘Another reason to celebrate this year end‘ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) dengan berkongsi pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib‘ (tiada tahanan rumah untuk Najib).
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pagi tadi memutuskan Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mempersoalkan tindakan Bee Yin mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain.
“Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

