POLIS Johor menerima tujuh laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sejak hari penamaan calon hingga jam 11.59 malam tadi, dengan tiga kertas siasatan sudah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan, manakala satu lagi mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.
Beliau berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan kesalahan melakukan atau cubaan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Semua kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini PRN Johor Ke-16, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, situasi keselamatan sepanjang proses PRN Johor setakat ini kekal aman dan terkawal tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, semua aktiviti politik dan kempen berlangsung dalam keadaan teratur serta mematuhi syarat ditetapkan hasil pemantauan berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehingga jam 11.59 malam semalam, katanya, sebanyak 420 permohonan permit berkempen diterima dengan 414 daripadanya sudah diluluskan.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 191 aktiviti politik dipantau anggota polis bagi memastikan setiap program mematuhi peruntukan undang-undang serta syarat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mempergiat pemantauan terhadap platform media sosial dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan berunsur hasutan atau provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.
Mengenai kawalan keselamatan, Ab Rahaman berkata, seramai 3,903 petugas PDRM diatur gerak sepanjang operasi PRN, membabitkan 544 pegawai, 3,247 anggota dan 112 pegawai awam.
Beliau berkata, semua petugas ditempatkan di seluruh negeri bagi melaksanakan kawalan keselamatan, rondaan pencegahan jenayah, pemantauan aktiviti politik, kawalan lalu lintas serta penugasan di bilik gerakan PDRM.
“Semua aset dan elemen sokongan PDRM berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Orang ramai, parti politik, calon dan penyokong diingatkan supaya terus menghormati undang-undang, mengamalkan kematangan berpolitik, tidak melakukan provokasi serta tidak menyebarkan berita palsu atau maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan trafik di semua lokasi pilihan raya juga dilaporkan lancar dan terkawal walaupun berlaku peningkatan aliran kenderaan di beberapa kawasan susulan kehadiran orang ramai, hasil kawalan lalu lintas yang dilaksanakan polis.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

