MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan pertemuan segera diadakan melibatkan semua pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap isu dakwaan kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.
Pengerusinya, Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata, pertemuan itu akan membabitkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai selain mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
“MAIS komited untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dan telah mengarahkan pertemuan segera dilaksanakan antara semua pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat serta menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang berlaku ketika mereka sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Katanya, pihaknya mengambil maklum kenyataan media JAIS bertarikh 27 Jun lalu berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam.
Selain itu, MAIS juga dimaklumkan bahawa pihak pengurusan masjid, waris yang terlibat serta BKS telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Sehubungan itu, Salehuddin menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan adil.
Beliau berkata, sebarang dapatan siasatan, sama ada melibatkan unsur jenayah, kecuaian mahupun salah faham komunikasi, akan diteliti sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, MAIS akan menilai semula pengurusan jenazah orang Islam yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid di Selangor bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dan ruang penambahbaikan.
Menurut Salehuddin, penilaian itu bertujuan memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan secara lebih cekap, teratur, penuh amanah serta memenuhi tuntutan hukum syarak.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Islam supaya terus memelihara ukhuwah dan tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai punca perpecahan atau kebencian dalam masyarakat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

