BAU busuk dari sebuah unit pangsapuri di tingkat tiga Taman Impian Indah, Kajang membawa penemuan mayat seorang wanita dalam bagasi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.37 malam tadi.
Menurut beliau, laporan itu menyatakan penemuan mayat tanpa pengenalan diri di sebuah rumah di Taman Impian Indah, Kajang.
Susulan laporan itu, katanya, sepasukan polis bersama pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat perempuan dijumpai di dalam bagasi di ruang tamu sebuah rumah dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jelas beliau, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun atau sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau talian NG MERS 999 bagi membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

