PENYANYI Indonesia, Ghea Indrawari bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert solo istimewa berjudul GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan dijangka menyajikan persembahan sarat emosi dan keintiman, sejajar dengan identiti muziknya yang cukup dikenali menerusi lagu-lagu balada berteraskan kejujuran perasaan serta penceritaan jiwa.
Menurut Ghea, Rasi Jiwa membawa falsafah tentang penerimaan diri dan perjalanan emosi yang tidak semestinya sempurna.
“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’.
“Ia mengajak anak muda untuk mengakui proses termasuk fasa bingung, jatuh dan belum selesai,” katanya.

Bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada penonton, konsert ini direka dengan konsep intim selain menawarkan beberapa kategori tiket termasuk zon berdiri bebas, tempat duduk bernombor serta zon VIP berhampiran pentas.
Menariknya, setiap kategori tiket dinamakan berasaskan fasa emosi kehidupan.
Harga tiket ditawarkan bermula RM198 hingga RM238 bagi kategori berdiri di tingkat bawah, manakala RM338 hingga RM368 untuk tempat duduk di tingkat atas.
Turut ditawarkan VIP Suite pada harga RM5,000 serta pakej Meet & Greet berharga RM300.

Pemilihan lokasi pula dilihat bertepatan dengan konsep konsert yang menekankan elemen keintiman dan interaksi emosi antara artis dan penonton.
Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web rasmi GheaRasiJiwaKL.com serta platform jualan tiket LOKET.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

