Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bakal menjadi antara acara utama sepanjang Ramadan tahun ini apabila festival Ramadan dan Raya berskala besar itu akan berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga 19 Mac 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd., jelas Pengarah Urusannya, Rayme Zainal, pemilihan PICC sebagai lokasi adalah strategik kerana kedudukannya di puncak tertinggi Putrajaya serta kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu menampung penganjuran acara berskala besar dan selesa untuk pengunjung.
Gema Raya Putrajaya 2026 menggabungkan pelbagai elemen termasuk keusahawanan, seni dan budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, sekali gus menawarkan pengalaman Ramadan dan persiapan Aidilfitri yang lebih menyeluruh.
Festival ini akan menghimpunkan hampir 300 vendor pelbagai kategori, dengan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

Selain menjadi platform kepada peniaga dan usahawan tempatan, acara ini turut berperanan mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya, sejajar dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negara.
Penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026 dilihat sebagai satu inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja merancakkan suasana Ramadan, malah menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan usahawan mikro dan PKS serta pengisian aktiviti kekeluargaan dan komuniti sepanjang bulan mulia.
Festival yang mendapat kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini dijangka menjadi tarikan baharu kepada pengunjung tempatan dan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Rayme, Raydiates kini mahu melangkah lebih jauh apabila menyasarkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada skala besar bermula tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Antara pencapaian membanggakan Raydiates adalah kejayaan mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, yang merupakan sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025, yang menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Bazar terbesar di Lembah Klang itu berjaya menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjurannya, sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri dengan pelbagai pilihan produk pada harga berpatutan.
Kejayaan tersebut turut memberi limpahan rezeki kepada para peniaga apabila beberapa gerai dilaporkan mencatatkan jualan sehingga RM100,000, menjadikan Anjung Syawal sebagai antara destinasi utama persiapan Aidilfitri di Malaysia.
Selain itu, Raydiates turut menganjurkan beberapa acara berskala besar lain sepanjang tahun lalu, antaranya Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 yang menghimpunkan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lebih membanggakan, Rayme juga berjaya menganjurkan acara Fun Run dengan penyertaan hampir 1,000 peserta hasil kerjasama bersama Anytime Fitness Hampshire dan SimplySiti sebagai rakan strategik, serta penampilan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

