JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan mengikut undang-undang berhubung penularan sebuah rakaman video menerusi TikTok melibatkan aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut kerana selain sangat tidak beradab, ia mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam.
Malah tegasnya, ia suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“JAIS mengambil maklum berhubung penularan rakaman video menerusi TikTok melibatkan aktiviti berkenaan.
“Sehubungan itu, JAIS sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu-individu yang terlibat,” jelasnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak JAIS memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di talian 1800-88-2424.
Terdahulu, tular tangkap layar gambar di aplikasi TikTok memaparkan beberapa wanita berpakaian tidak sopan didakwa melakukan aktiviti senaman.

