SARAH BAARTMAN | Wanita kulit hitam yang dieksploitasi kerana bentuk punggungnya yang dianggap aneh oleh orang putih

Dari Penulis

Sarah Baartman ialah seorang wanita Afrika yang pada awal 1800-an pernah popular, bukan kerana bakat atau pencapaian, tetapi kerana bentuk tubuhnya.

Dia diarak dan dipamerkan di seluruh Eropah, di mana para penonton menjadikannya bahan tontonan dan ejekan, khususnya terhadap bentuk punggungnya yang besar, seolah-olah tubuhnya bukan milik seorang manusia tetapi sekadar untuk hiburan awam.

Sarah Baartman dilahirkan pada tahun 1789 di Lembah Gamtoos dalam komuniti Khoikhoi di wilayah Eastern Cape, Afrika Selatan. Nama asalnya dipercayai Ssehura. Namun ketika bekerja di ladang kolonial, dia diberikan nama Belanda iaitu Saartjie Baartman.

Saartjie bermaksud ‘Sarah kecil’. Nama keluarga Baartman pula bukan miliknya, sebaliknya ia diberikan oleh tuannya, membawa maksud menghina seperti tidak bertamadun, kasar dan liar.

Sarah Baartman. Bentuk tubuhnya terutama punggung yang pelik telah menarik perhatian orang Eropah.

Tidak banyak informasi tentang keluarganya. Pada usia 16 tahun, Sarah telah dijual sebagai hamba kepada seorang pedagang bernama Pieter Cesars dan dibawa ke Cape Town. Di sana, dia menjadi pembantu rumah kepada adik lelaki Cesars, Hendrik.

Bentuk tubuh Sarah yang semula jadi berlekuk dengan saiz punggung yang besar telah menarik perhatian Hendrik Cesars. Pada zaman itu, bentuk tubuh sebegitu dianggap pelik dan eksotik.

Cesars mula mempamerkan Sarah di hospital bandar sebagai tontonan berbayar. Dari situlah muncul Alexander Dunlop, seorang pakar bedah yang turut membekalkan spesimen haiwan kepada pengusaha pertunjukan di Britain.

Dunlop melihat Sarah bukan sebagai manusia, tetapi sebagai bahan pameran yang boleh menjana keuntungan. Sebenarnya, bentuk tubuh Sarah adalah ciri yang biasa dalam komuniti wanita Khoikhoi. Ciri fizikal begini dikenali sebagai steatopygia (pengumpulan lemak pada bahagian pinggul dan punggung). Namun, bentuk tubuh begitu dianggap ganjil dan erotik oleh masyarakat Eropah ketika itu.

Dunlop memaksa Sarah supaya mengikutnya ke Eropah. Dia mahu mempergunakannya untuk dijadikan bahan pameran, salah satu cara meraih keuntungan.

Pada mulanya Sarah menolak, namun akhirnya akur akibat tekanan berterusan. Pada tahun 1810, Sarah tiba di London bersama Dunlop dan Cesars, dan ditempatkan di Duke Street, St. James, sebuah kawasan elit di kota itu.

Tidak lama kemudian, dia dipamerkan di Piccadilly. Ribuan penduduk London datang semata-mata untuk menonton tubuhnya. Dengan bayaran paling murah, orang ramai dibenarkan hanya untuk melihat. Dengan bayaran lebih mahal sedikit, mereka dibolehkan menyentuh tubuh Sarah.

Sarah dipaksa menari dan beraksi hampir setiap hari, memakai pakaian yang direka khas menyerupai warna kulitnya, memberi ilusi seolah-olah dia tidak berpakaian. Semua ini dilakukan demi menarik perhatian masyarakat kolonial.

Cetus Kemarahan

Pameran yang menjadikan Sarah sebagai bahan tontonan ini telah mencetuskan kemarahan ramai orang terutamanya golongan penghapus perhambaan. Apatah lagi ia berlaku selepas Akta Perdagangan Hamba 1807.

Kes ini dibawa ke mahkamah, tujuannya untuk membela Sarah dan membawanya pulang semula ke tanah air. Namun dalam perbicaraan, Sarah memberi keterangan bahawa dia tidak dipaksa dan tidak ingin pulang ke tanah airnya. Ramai sejarawan percaya kenyataan itu dibuat kerana Sarah berada di bawah tekanan, atau mungkin juga diugut.

Selepas empat tahun di England, Sarah dibawa ke Perancis oleh seorang pelatih haiwan bernama Jean Riaux. Di Paris, keadaannya menjadi lebih teruk. Dia diperlakukan seperti haiwan sarkas. Disuruh duduk, berdiri dan dipamerkan, malah ada ketika ditempatkan dalam sangkar. Hidup Sarah semakin terasing, dilakukan dengan cara tidak bermaruah tanpa perikemanusiaan.

Sarah Baartman meninggal dunia pada 29 Disember 1815 di Paris, ketika usianya sekitar 26 tahun. Punca sebenar kematiannya tidak pernah disahkan. Namun kebanyakan sejarawan percaya ia berpunca daripada penyakit radang serius. Berkemungkinan akibat jangkitan pernafasan seperti pneumonia, cacar atau komplikasi penyakit lain kesan daripada kehidupan yang miskin, tekanan berpanjangan dan penyalahgunaan alkohol.

Tahun-tahun terakhir hidupnya dihabiskan dalam keadaan daif selepas popularitinya merosot dan tubuhnya tidak lagi mendatangkan keuntungan  sebagai tontonan.

Tragisnya, penderitaan Sarah tidak berakhir dengan kematian semata-mata. Saintis Perancis, Georges Cuvier kemudian menjadikan mayat Sarah sebagai bahan ujikajinya. Rangkanya diawet dan sebahagian anggota badannya dipamerkan di muzium Paris selama lebih satu abad, sehingga akhirnya dianggap sebagai satu penghinaan terhadap maruah kaum wanita.

Pada tahun 1995, Presiden Nelson Mandela memohon kepada kerajaan Perancis supaya mengembalikan rangka Sarah Baartman agar beliau dapat dikebumikan dengan penuh penghormatan di tanah airnya. Proses ini mengambil masa selama lapan tahun kerana kerajaan Perancis perlu menyediakan rang undang-undang yang tersusun rapi, supaya tiada negara lain boleh menuntut sebarang harta lain selepas itu.

Akhirnya, pada 6 Mac 2002, rangka Sarah dibawa pulang ke Afrika Selatan dan dikebumikan. Majlis pengebumian berlangsung pada 9 Ogos 2002, sempena Hari Wanita di Hankey, dalam wilayah  Eastern Cape.

Rangka Sarah Baartman dikembalikan semula ke Afrika Selatan dan dikebumikan dengan penghormatan.

Kepulangan Sarah Baartman menamatkan satu bab tragis dalam sejarahnya dan memberi penghormatan terakhir yang sewajarnya kepada seorang wanita yang selama hampir dua abad menjadi simbol eksploitasi dan perkauman.

Hari ini, kisah Sarah Baartman dilihat sebagai peringatan pahit tentang bagaimana tubuh wanita kulit hitam pernah dieksploitasi. Walaupun dunia moden meraikan kepelbagaian bentuk tubuh, sejarah Sarah mengingatkan kita bahawa kecantikan boleh bertukar menjadi penindasan apabila ia disertai kuasa, perkauman dan kerakusan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This