Kisah ‘Raksasa 21 Wajah’ yang pernah menggemparkan orang Jepun dengan makanan beracun

Dari Penulis

Pada pertengahan tahun 1980-an, masyarakat di Jepun hidup dalam ketakutan selama 17 bulan kerana munculnya seorang sekumpulan penjenayah yang menggelar diri mereka sebagai ‘The Monster with 21 Faces’ (Si Raksasa Dengan 21 Wajah).

Melalui surat ugutan dan ancaman makanan beracun, figura misteri ini telah mencetuskan salah satu kes jenayah yang pernah menggemparkan penduduk negara matahari terbit itu.

Segalanya bermula pada 18 Mac 1984 apabila dua lelaki bertopeng menculik Katsuhisa Ezaki, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konfeksi terkenal, Ezaki Glico.

Ezaki dibawa ke sebuah gudang dan penculik menuntut wang tebusan sebanyak 1 bilion yen (sekitar AS$4.2 juta) sebagai syarat pembebasannya. Namun, sebelum sebarang bayaran dibuat, Ezaki berjaya meloloskan diri.

Katsuhisa Ezaki selepas berjaya meloloskan diri dari penculik.

Walaupun selamat, episod itu hanyalah permulaan. Pada 10 April 1984, beberapa kenderaan di luar ibu pejabat Ezaki Glico telah dibakar. Kejadian itu turut memusnahkan kawasan sekeliling. Sebulan kemudian, syarikat itu menerima sepucuk surat ugutan yang ditandatangani dengab nama “The Monster with 21 Faces”.

Kandungan surat itu mendakwa bahawa produk gula-gula yang dihasilkan syarikat itu telah dicemari dengan kalium sianida. Demi keselamatan awam, pihak berkuasa mengambil keputusan drastik dengan mengarahkan semua produk keluaran Ezaki Glico dikeluarkan dari pasar raya di seluruh Jepun. Tindakan itu membawa kesan besar, mengakibatkan kerugian melebihi AS$20 juta dan lebih 400 pekerja terpaksa diberhentikan.

Siasatan polis menemui jalan buntu. Rakaman kamera keselamatan di sebuah pasar raya menunjukkan seorang lelaki yang tidak dikenali meletakkan produk Glico di rak jualan. Lelaki itu memakai topi besbol dan sukar dikenal pasti. Lebih mengelirukan, rakaman hanya menunjukkan seorang individu, sedangkan penculikan Ezaki melibatkan dua orang. Polis tidak pasti berapa ramai sebenarnya yang terlibat dalam kes itu.

Kemudian, penjenayah mula menghantar surat kepada pihak media pula. Salah satu isi kandungan surat tersebut, mereka menyindir pihak berkuasa secara terbuka, mengejek ketidakupayaan polis menyelesaikan kes tersebut. Ketika itu, seluruh Jepun dilanda panik. Jualan gula-gula jatuh merudum.

Menjelang musim panas 1984, sasaran ugutan diperluaskan. Selain Syarikat Ezaki Glico, geng The Monster with 21 Faces ini turut menyasarkan syarikat lain seperti Morinaga, Marudai Ham dan House Food Corporation.

Dalam satu tuntutan, penjenayah menyatakan mereka akan menghentikan semua aktiviti ugutan mereka jika diberi wang tebusan 50 juta yen. Pada Jun 1984, mereka mengarahkan wang itu diletakkan di dalam sebuah kereta api menuju Kyoto, ditandakan dengan bendera putih.

Seorang anggota polis telah menyamar menaiki kereta api tersebut. Walaupun tiada bendera putih kelihatan, dia mengesan seorang lelaki berkelakuan mencurigakan. Lelaki itu berbadan seperti seorang atlet, matanya digambarkan seperti mata musang. Namun, suspek berjaya meloloskan diri di stesen Kyoto. Wang tebusan tidak diambil.

Cubaan serahan wang tebusan seterusnya pada November juga gagal. Pada Oktober 1984, penjenayah menghantar surat kepada media yang ditujukan kepada golongan ibu di Jepun. Mereka mengatakan 20 bungkusan gula-gula Morinaga telah dicemari natrium sianida dan diletakkan di rak-rak kedai.

Polis bertindak pantas dengan melakukan pemeriksaan dan menemui lebih 21 bungkusan gula-gula yang telah diusik. Anehnya, pada bungkusan tersebut terdapat label amaran bertulis – “Bahaya: Mengandungi Toksin.”

Pada Januari 1985, polis mengeluarkan poster penjenayah tersebut berdasarkan rakaman kamera dan gambaran suspek di kereta api Kyoto. Namun, tiada siapa tampil memberikan maklumat.

Tragedi memuncak pada Ogos tahun yang sama. Walaupun tidak secara langsung, Monster with 21 Faces telah meragut nyawa pertamanya. Ketua polis yang mengetuai siasatan semakin tertekan dengan tekanan kerana gagal menyelesaikan kes tersebut sehingga membunuh diri dengan membakar dirinya sendiri.

Selepas berita kematian itu disiarkan, penjenayah telah menghantar surat terakhir kepada media yang dipenuhi ejekan dan pengakuan bahawa mereka akan menghentikan ugutan dan gangguan terhadap syarikat makanan di negara itu.

Masa terus berlalu, namun polis gagal menjejaki Monster with 21 Faces. Akhirnya, kes ini ditutup secara rasmi pada tahun 2001. Jika penjenayah berjaya ditangkap hari ini pun, mereka tidak lagi boleh didakwa kerana tempoh had pendakwaan Jepun bagi kes tersebut telah pun tamat.

Monster with 21 Faces kemudian dikenali sebagai kes Glico Morinaga kerana dua syarikat utama yang menjadi sasaran ugutan dan serangan paling kritikal ialah Ezaki Glico dan Morinaga. Pelakunya kekal misteri sehingga hari ini, tidak pernah berjaya didedahkan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This