ISTERI ketiga kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, didakwa melakukan perbuatan itu pada 2024 dan tahun lalu.
Wanita itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Salwani hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda kerana mengalami kesakitan di paha akibat penyakit bisul yang kronik.
Mengikut empat pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM50,000, RM7,000 dan dua lagi jumlah masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke akaun milik syarikat itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank Damansara Heights, Kuala Lumpur antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.
Baca artikel lain: Bekas PTD mengaku tak bersalah terima wang haram lebih RM2.12 juta
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama, boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hari ini, suaminya yang juga bekas PTD iaitu Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, turut mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Muhammad Hafizuddeain adalah bekas PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank berbeza di Jalan Melaka dan Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

