Farm Fresh raih Anugerah Platinum buat kali kelima berturut-turut di Putra Brand Awards 2025

Dari Penulis

Farm Fresh Berhad sekali lagi membuktikan kekuatan jenamanya apabila merangkul Anugerah Platinum bagi kategori Minuman-Tenusu di Putra Brand Awards 2025, menandakan kemenangan kelima berturut-turut sejak 2021.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmi Zainal, merakamkan penghargaan atas kepercayaan berterusan pengguna.

“Pengiktirafan ini amat bermakna buat kami. Kemenangan Platinum buat kali kelima berturut-turut mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Farm Fresh,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee.

Menurutnya, sokongan tidak berbelah bahagi pengguna menjadi pemangkin kepada pertumbuhan syarikat sambil kekal setia kepada nilai teras yang dipegang sejak penubuhan.

“Kami akan terus berpegang kepada misi kami untuk membekalkan produk tenusu segar berkualiti tinggi serta memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya.

Pencapaian berprestij itu terus mengukuhkan kedudukan Farm Fresh sebagai jenama tenusu paling dipercayai dan dekat di hati pengguna Malaysia, selari dengan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh rakyat terhadap kualiti serta integriti produk tempatan.

Kejayaan terbaharu ini bukan sahaja satu pengiktirafan, malah menjadi simbol konsistensi Farm Fresh dalam mengekalkan kualiti sejak kemenangan Platinum pertamanya pada 2021. Ia turut membuktikan bahawa komitmen syarikat terhadap penggunaan bahan semula jadi tanpa pengawet, pewarna tiruan, perisa tiruan serta gula tersembunyi terus mendapat sokongan padu pengguna Malaysia.

Farm Fresh kini mengeksport produknya ke pasaran seperti Singapura, Brunei, Filipina dan Kemboja, disokong oleh operasi pembuatan di Australia.

Ditubuhkan pada tahun 2009, Farm Fresh bermula sebagai sebuah operasi kecil dengan beberapa ekor lembu tenusu import dan sebuah ladang di Johor. Kini, jenama tempatan ini berkembang menjadi sebuah operasi tenusu bersepadu sepenuhnya berkonsepkan “grass-to-glass”, berteraskan janji untuk membekalkan produk tenusu segar berkualiti tinggi tanpa bahan tambahan tiruan.

Hari ini, Farm Fresh menguruskan ladang tenusu di Malaysia dan Australia meliputi lebih 5,000 ekar tanah dengan lebih 13,000 ekor lembu tenusu. Portfolio produknya turut berkembang pesat, merangkumi lebih 220 produk di bawah pelbagai jenama, termasuk susu segar, yogurt, mentega dan ais krim.

Inovasi kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat. Pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) membolehkan Farm Fresh memperkenalkan produk-produk inovatif seperti susu bebas laktosa, susu kurma, susu badam serta Farm Fresh Grow untuk kanak-kanak. Penawaran terbaharu seperti minuman coklat malt, ais krim, krim masakan, krim putar dan mentega mencerminkan kesungguhan jenama ini untuk terus relevan dengan perubahan citarasa pengguna.

Dalam aspek pengembangan serantau, Farm Fresh turut mencatat kemajuan memberangsangkan dengan eksport ke Singapura, Brunei, Filipina dan Kemboja, disokong oleh operasi pembuatan di Australia. Fasiliti terbaharu di Filipina menandakan satu lagi langkah strategik bagi mendekatkan produk tenusu segar kepada pengguna di rantau Asia Pasifik.

Kemasukan Farm Fresh ke pasaran Kemboja pada Ogos 2025 juga menerima sambutan positif, dengan penembusan pantas ke saluran perdagangan utama di Phnom Penh termasuk pasar raya dan rangkaian kafe.

Komitmen terhadap amalan pertanian beretika dan mampan kekal menjadi teras identiti Farm Fresh. Ladang-ladangnya di Malaysia merupakan yang pertama di Asia menerima pensijilan Certified Humane® Raised and Handled®, sekali gus menegaskan dedikasi syarikat terhadap kebajikan haiwan bertaraf antarabangsa.

Inisiatif kemasyarakatan seperti Program Susu Sekolah yang dilaksanakan sejak sekian lama turut mencerminkan pendekatan berteraskan tujuan Farm Fresh, dengan pengagihan berjuta-juta pek susu kepada murid sekolah di seluruh negara, selain menyokong rangkaian usahawan mikro tempatan.

Putra Brand Awards diiktiraf sebagai anugerah jenama berasaskan pengguna paling berprestij di negara ini, dengan penilaian dibuat berdasarkan kepercayaan, pilihan dan pengalaman sebenar pengguna. Pada edisi tahun ini, lebih 52,000 maklum balas diterima secara sukarela, menjadikan pengiktirafan tersebut cerminan tulen sentimen dan kesetiaan pengguna.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

MKDS buka cawangan baharu di Putrajaya

Penyedia perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) membuka cawangan baharu di IOI Resort City, Putrajaya dalam...

More Articles Like This