Misteri ‘batu wanita mengandung’, perempuan mudah hamil jika menyentuhnya

Dari Penulis

Di Lembah Beeka, Lubnan, masih terlihat sisa kota purba Heliopolis yang merupakan salah satu keajaiban daripada kejuruteraan Rom zaman dahulu. Kota ini kini dikenali sebagai Baalbek, tempat di mana berdirinya kuil Jupiter yang berusia dua ribu tahun.

Kuil ini dibina di atas tiga bongkah batu raksasa yang dikenali sebagai Trilithon (Tiga Batu), yang terletak bersebelahan dengan Kuil Bacchus. Ada banyak persoalan misteri menyelubungi kawasan ini.

Bukan hanya pada kuil-kuil tersebut, tetapi tidak jauh dari tapak utama, di sebuah kuari batu kapur purba, terdapat beberapa bongkah batu gergasi. Batu-batu itu seolah-olah ditinggalkan di situ.

Salah satu bongkah batu itu dikenali sebagai Batu Wanita Mengandung (Hajar el-Hibla). Ia dinamakan demikian kerana legenda tempatan yang menceritakan, ada seorang wanita hamil yang mendakwa dia tahu cara untuk menggerakkan batu gergasi itu.

Wanita itu berjanji akan mendedahkan rahsianya jika penduduk Baalbek sanggup memberinya makan sepanjang kehamilannya sehingga dia melahirkan anak. Penduduk bersetuju, tetapi selepas wanita itu bersalin, dia tidak mengotakan janjinya. Batu tersebut kekal di situ sehingga hari ini. Daripada kisah itu batu tersebut dipanggil ‘Batu Wanita Mengandung’.

Batu Wanita Mengandung.

Batu ini tidak pernah tertimbus sepenuhnya dan merupakan yang pertama dikenal pasti pengkaji. Beratnya dianggarkan sekitar 1,000 tan dengan panjang melebihi 20 meter, menjadikannya antara bongkah batu terbesar yang pernah dipotong oleh manusia. Ia turut dicatat dan digambarkan oleh pengembara Eropah sejak abad ke-18.

Pada tahun 1990-an, ahli arkeologi menemui sebuah lagi batu di kawasan sama, dikenali sebagai ‘Batu Selatan’. Beratnya kira-kira 1,242 tan. Namun, penemuan paling mengejutkan berlaku pada tahun 2014 apabila Institut Arkeologi Jerman menemui sebuah lagi bongkah batu gergasi yang tersembunyi di bawah Batu Wanita Mengandung. Ia dinamakan sebagai ‘Batu Yang Dilupakan’ (Forgotten Stone ) seberat hampir 1,500 tan.

Penemuan ini segera mencetuskan persoalan, mengapa batu-batu gergasi ini dipotong sedemikian rupa? Bagaimana orang Rom merancang untuk mengangkutnya?

Bongkah batu yang ditemui di bawah Batu Wanita Mengandung.

Tanpa Jentera Moden

Orang Rom purba tidak memiliki kren hidraulik atau jentera berat seperti hari ini. Namun bukti arkeologi dari seluruh empayar mereka menunjukkan satu perkara yang jelas, mereka tahu cara mengendalikan batu dalam skala luar biasa.

Teknik melibatkan lukisan garisan kapur pada permukaan batu, diikuti dengan tebukan lubang kecil di sepanjang garisan tersebut. Baji logam kemudian dimasukkan dan diketuk perlahan-lahan sehingga batu terbelah mengikut bentuk yang dikehendaki. Ia satu teknik yang mengingatkan kita kepada cara patung moai di Pulau Easter dihasilkan.

Selepas dipotong, batu-batu ini dipercayai diletakkan di atas penggelek dan digerakkan menggunakan sistem takal dan kapstan (sejenis silinder berputar yang digerakkan oleh tenaga manusia). Anggaran menunjukkan bahawa untuk menggerakkan satu bongkah batu, sekitar lebih 500 tenaga pekerja diperlukan bagi menghasilkan daya lebih 10 tan.

Tambahan pula, kuari tempat batu-batu ini dipotong terletak lebih tinggi dan kira-kira 800 meter dari tapak kuil. Ini menjadikan tugas pemindahan batu sangat mencabar.

Vitruvius, arkitek terkenal Rom pernah menulis bahawa teknologi mengangkat beban berat sudah difahami dengan baik oleh orang Rom purba. Lukisan dan relief Rom purba turut menunjukkan penggunaan winch (sejenis alat penggulung yang memanfaatkan daya manusia untuk menarik beban luar biasa) dan takal untuk mengangkat bongkah batu besar.

Semua ini menunjukkan bahawa orang Rom purba bukan sekadar pembina, tetapi mempunyai kemahiran memahami fizik, daya dan struktur dengan sangat mendalam.

Batu Wanita Mengandung sekitar tahun 1900.

Untuk Apa Batu Gergasi Ini?

Rahsianya terletak pada skala luar biasa Baalbek. Kuil Jupiter, kuil terbesar dalam empayar Rom yang dibina di atas tanah berbatu dan sudah pasti memerlukan asas yang amat kukuh. Untuk menampung berat bangunan yang begitu hebat, batu-batu asasnya juga mesti bersaiz raksasa.

Kuil ini pada asalnya mempunyai 54 tiang, setiap satu setinggi hampir 20 meter. Puncak bumbungnya dianggarkan setinggi 44 meter. Hari ini, hanya enam tiang yang masih kukuh berdiri, namun sudah cukup untuk menggambarkan keagungan binaan asalnya.

Kuil Jupiter.

Kekurangan dokumentasi rasmi tentang siapa yang membina dan membiayai kuil ini membuka ruang kepada pelbagai kisah legenda. Ada yang percaya ia dibina oleh gergasi di bawah arahan Nimrod, tokoh alkitab. Ada pula yang mengaitkannya dengan Nabi Sulaiman dan jin yang membantunya, kononnya batu-batu itu ditinggalkan apabila para jin mogok tidak mahu kerja.

Manakala nama ‘Batu Wanita Mengandung’ juga dikaitkan dengan pelbagai cerita rakyat. Daripada wanita hamil yang kononnya mengetahui rahsia menggerakkan batu, hinggalah kepercayaan bahawa menyentuhnya boleh meningkatkan kesuburan dan mudah hamil.

Sebenarnya, tapak ini bukan sahaja menyimpan bukti kehebatan teknologi purba, tetapi juga memperlihatkan bagaimana imaginasi manusia cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh sejarah.

Hari ini, tiang-tiang Kuil Jupiter dan bongkah Batu Wanita Mengandung masih berdiri sebagai saksi bisu kepada keupayaan luar biasa tamadun Rom suatu ketika dahulu.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This