JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi perhatian untuk mengemaskini mana-mana pekeliling, peraturan dan garis panduan yang melebihi 20 tahun atau tidak lagi relevan pemakaiannya.
JPA dalam kenyataan memaklumkan, antara instrumen kawal selia itu termasuk berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.
Menurut JPA, langkah itu dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.
“Entiti kerajaan diwajibkan untuk menyemak semula semua instrumen kawal selia termasuk pekeliling, peraturan dan garis panduan di bawah bidang kuasa masing-masing dalam tempoh tiga tahun.
“Ia berdasarkan kepada ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 atau Akta 867 yang telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2025 dan Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, JPA memberitahu, pengemaskinian itu juga menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang menjadi teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Katanya, ia berorientasikan kepada peningkatan kecekapan, integriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Perkara ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam,” katanya.
Baca artikel lain: Guan Eng gesa JPA tangani isu pegangan saham Azam Baki dengan serius
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendesak JPA memberi penjelasan terbuka berkaitan isu pegangan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dakwanya, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 melarang penjawat awam membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000 pada nilai semasa.
Menerusi laporan Bloomberg, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Laporan itu sekali gus merupakan pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, Azam menerusi sidang akhbar khas menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak Julai tahun lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

