TALENT Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mengumumkan peruntukan tambahan bagi memperluas pelaksanaan latihan dan penempatan pekerjaan berasaskan industri yang diselaraskan di bawah kerangka Vetri MADANI.
Usaha tersebut akan diterajui oleh HRD Corp dan TalentCorp melalui ekosistem MyMahir.
Ia susulan kejayaan Program Malaysian Indian Skills Initiative 2.0 (MiSI 2.0) dilaksana oleh TalentCorp yang kini diperkukuh sebagai laluan kerjaya dan penempatan pekerjaan untuk belia India, khususnya daripada keluarga B40.
Peruntukan tambahan bagi tempoh Julai 2026 hingga Disember 2027 ini akan memberi manfaat kepada 500 peserta, dengan tumpuan kepada latihan yang ditentukan oleh keperluan sebenar industri dan penempatan pekerjaan yang berkualiti.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penyelarasan pelaksanaan oleh TalentCorp memperkukuhkan pendekatan pembangunan kerjaya yang berfokus kepada hasil sebenar.
“Pengalaman pelaksanaan sebelum ini membuktikan bahawa apabila latihan ditentukan oleh industri dan disusuli dengan penempatan pekerjaan sebenar, impaknya adalah nyata.
“Pendekatan inilah yang kita perluaskan supaya lebih ramai belia komuniti India dapat membina masa depan yang stabil dan bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Graduasi MiSI 2.0, hari ini.
Baca artikel lain: Didakwa sentuh isu sensitif, ‘Cikgu Chandra’ ditahan polis
MiSI 2.0 sebelum ini telah merekodkan lebih 3,400 pendaftaran, dengan lebih 400 peserta menamatkan latihan dan hampir 300 peserta berjaya memperoleh pekerjaan.
Kadar penempatannya mencecah sekitar 75 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas tamat latihan, melibatkan sektor bernilai tinggi seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Aeroangkasa serta Global Business Services (GBS).
Pendekatan yang diterajui TalentCorp ini menggunakan model ‘train-and-place’ yang dipacu sepenuhnya oleh industri.
Majikan mengenal pasti keperluan kemahiran, penyedia latihan membangunkan modul yang relevan dan pembiayaan hanya disalurkan selepas peserta berjaya ditempatkan bekerja, bagi memastikan tumpuan berterusan kepada hasil pekerjaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pendekatan ini selari dengan hala tuju kementerian untuk memastikan setiap pelaburan pembangunan bakat membawa pulangan ekonomi dan sosial yang jelas.
“Penyelarasan antara dasar kementerian dan pelaksanaan oleh agensi seperti TalentCorp membolehkan pembangunan tenaga kerja dilaksanakan secara tersusun dan berfokus kepada keperluan sebenar pasaran buruh,” katanya.
Seiring pelaksanaan Vetri MADANI, TalentCorp menyokong agenda ini sebagai badan pemikir strategik KESUMA, dengan memanfaatkan ekosistem MyMahir untuk menyelaras penglibatan industri, pemilihan penyedia latihan serta penempatan pekerjaan secara hujung ke hujung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling berkata, peranan TalentCorp adalah memastikan pelaksanaan ini memberi impak jangka panjang kepada peserta dan keluarga mereka.
“Kejayaan diukur bukan sekadar melalui bilangan peserta dilatih, tetapi melalui kualiti pekerjaan, kemajuan kerjaya dan kestabilan hidup jangka panjang,” katanya lagi.
Majlis hari ini meraikan kejayaan 130 peserta fasa terdahulu yang telah menamatkan latihan dan berjaya melangkah ke alam pekerjaan, mencerminkan komitmen KESUMA dan TalentCorp untuk membina tenaga kerja masa hadapan yang inklusif.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

