SEBANYAK 5,133 kes kecurian elektrik melibatkan pengguna meter pintar dikesan di seluruh Semenanjung dengan kerugian RM41 juta dicatatkan, berdasarkan rekod 2021 sehingga tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk itu pihaknya dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa komited dalam membanteras aktiviti kecurian elektrik terutamanya dalam perlombongan bitcoin atau mata wang kripto.
Aktiviti tersebut katanya, bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna tetapi juga akan menjejaskan kestabilan ekonomi negara, meningkatkan risiko keselamatan awam serta kerosakan harta benda dan mencetuskan ancaman serius kepada sistem bekalan tenaga negara.
“Dalam usaha mengekang aktiviti haram ini, beberapa langkah strategik seperti pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan, penganjuran kempen kesedaran awam, mengadakan sesi libat urus rasmi bersama pihak berkepentingan dan melaksanakan pemantauan teknikal melalui Projek Perintis Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai jumlah kes kecurian elektrik yang berjaya dikesan melalui sistem DTM dan meter pintar serta anggaran kerugian kewangan yang dialami oleh TNB akibat aktiviti haram tersebut.
Fadillah berkata, sehingga 2025 sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang di seluruh Semenanjung dan ia membantu untuk mengawal kes kecurian bekalan elektrik.
Menurutnya, selain pengesanan melalui pemasangan DTM dan meter pintar oleh TNB, teknologi drone dan thermal handheld device turut digunakan untuk mengesan kes kecurian elektrik.
“Teknologi-teknologi ini membolehkan pengesanan haba berlebihan pada premis yang disyaki, untuk membantu mengenal pasti aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dijalankan secara haram dengan lebih efektif.
“Pendekatan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan, pelaksanaan program kesedaran awam dan sesi libat urus strategik secara berterusan merupakan langkah yang berkesan dalam memastikan kerugian kepada industri perbekalan elektrik negara dapat diminimumkan serta keselamatan sistem tenaga terus terpelihara,” katanya.

