Macam mudah aje, buat cara manis ini. Tapi kalau tepung tidak disukat dengan betul, adunan akan menjadi keras.
Adunannya perlu seimbang, bancuhan jangan terlalu tebal kuih akan kekal lembut biarpun sudah sejuk.
Jangan lupa panaskan acuan terlebih dahulu. Sapukan sedikit minyak, agar adunan tidak melekat. Cuba resipi Nina Adrina ini, pasti menjadi!
BAHAN ADUNAN
1 cawan tepung gandum
½ cawan santan pekat
1 biji telur
3 sudu besar minyak masak
1 ½ cawan air daun pandan
Sedikit garam
Pewarna hijau
BAHAN B – INTI
Gula pasir secukupnya- lebih kurang 1/3 sudu kecil bagi setiap kuih cara
CARA PENYEDIAAN :
- ADUNAN : Satukan ke semua adunan lalu dikisar halus supaya tidak berketul-ketul.
- Panaskan acuan, gunakan api yang paling perlahan. Sapu acuan dengan minyak. Pastikan tiada minyak yang bertakung pada acuan.
- Tuangkan adunan ke dalam acuan sehingga ¾ penuh.
- Apabila dasar adunan sudah nampak masak, masukkan sedikit gula.
- Tutup acuan dengan penutup periuk. Biarkan kuih cara masak sepenuhnya (tiada lagi cecair tepung di atasnya). Keluarkan kuih cara dari acuan. Ulangi hingga adunan habis.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

