Gelombang kontroversi melanda pasangan selebriti Gegar Vaganza 9 (GV9), Fuad Rahman dan Tom, apabila konflik rumah tangga mereka kini beralih daripada sekadar khabar angin kepada “perang terbuka” di platform digital.
Selepas Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 40, mengejutkan ramai dengan pengakuan berani mendakwa dirinya curang dan mahu bercerai, suaminya, Fuad, akhirnya tampil memecah ruji kesunyian dengan nada yang cukup hiba namun tegas.
Fuad, 47, menerusi ruangan komen di media sosial, tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila hal remeh-temeh serta kemelut dalaman perkahwinan mereka dijadikan tontonan umum.
Bagi penyanyi kelahiran Singapura itu, tindakan Tom itu bukan sahaja memalukan diri sendiri, malah tidak memikirkan impak terhadap cahaya mata mereka.
“Aku tak tahu nak cakap apa lagi dengan kau. Nak selesaikan masalah bukan di media sosial bagi semua orang tahu, kenapa buka aib sendiri.
“Kita ini public figure, ada anak. Tinggal dah berjauhan boleh tak istighfar.
“Untuk nak cari lain (pasangan) bukan akulah insya-Allah. Tapi untuk kau rasanya ramai sedang menunggu.
“Jadi aku tak perlu nak mesej atau telefon orang yang ganggu kau. Sekarang kau nak berkawan dengan siapa pergilah.
“Nak surf tak pakai baju pun pergilah. Buat apa yang kau rasa baik,” katanya.
Kenyataan Fuad itu merujuk kepada hantaran Tom sebelum ini yang mendakwa dia menjalin hubungan sulit dengan individu bernama ‘Apang’ dan ‘Abang Jidin’ serta melabel dirinya sendiri sebagai “perempuan gatal” yang tidak menghargai suami.
Dalam pada itu, Fuad dengan penuh rendah diri mengakui bahawa dia bukanlah insan sempurna.
Dia secara terbuka menyentuh mengenai sejarah silamnya yang pernah terjerumus dalam penyalahgunaan dadah serta rekod keluar masuk penjara di Singapura.
Walau bagaimanapun, Fuad menegaskan bahawa statusnya sebagai bekas banduan tidak menghalangnya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam memberi teguran kepada isteri.
“Aku sedar aku penagih keluar masuk penjara banyak kali. Jadi bila suami nasihat dan tegur, kau marah.
“Kau kira hati kau saja, hati suami kau tak kisah ya? Tak apa, Allah ada,” tambahnya lagi.
Meskipun Tom seakan-akan sudah “tutup pintu” dan mencabar Fuad untuk mencari pengganti, penyanyi lagu Sepi Di Kota Singa itu menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali menyerah kalah dalam mempertahankan rumah tangga yang baru berusia dua tahun itu.
Fuad akui walaupun Tom kini seolah-olah mahu hidup bebas tanpa sekatan, namun di sudut hatinya, perasaan cinta terhadap isterinya itu masih utuh.
“Insya-Allah aku takkan menyerah kalah kerana hati aku masih sayangkan kau,” katanya, sekali gus memberi isyarat bahawa proses perceraian bukanlah pilihan utamanya buat masa ini.
Terdahulu, Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 40, mendedahkan bakal bercerai dengan Fuad dalam masa terdekat.
Tom turut mengakui masalah rumah tangga yang berlaku adalah disebabkan kesilapannya sendiri.
Bagaimanapun, hantaran tersebut sudah dipadam selepas satu jam dimuat naik.
Malah, tidak dapat dipastikan sama ada hantaran dimuat naik adalah benar atau sekadar sindiran.
Untuk rekod, Fuad dan Tom bernikah pada 26 Februari 2023 selepas sama-sama terlibat dalam program Gegar Vaganza musim ke-9.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Anggun Lovellia yang kini berusia dua tahun.

