PENYANYI yang sering menjadi bualan ramai, Agy, akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi video muzik (MV) lagu raya terbaharunya, Lala Raya, yang didakwa menyentuh sensitiviti keagamaan.
Isu tersebut mula tular selepas netizen menyedari terdapat babak di meja makan yang mempunyai persamaan ketara dengan lukisan ikonik The Last Supper karya Leonardo Da Vinci, sehingga mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Enggan membiarkan api kemarahan netizen terus marak, Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy, 29, mengambil tindakan drastik dengan menurunkan sendiri video tersebut daripada platform YouTube meskipun ia sedang berada di kedudukan trending kelima.
Menurut Agy, keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab dan bukan kerana dipaksa oleh pihak YouTube atau mana-mana organisasi.
“Sejujurnya, perasaan panik itu ada apabila isu ini mula diperkatakan. Saya langsung tidak menyangka babak makan bersama itu dilihat serupa dengan lukisan The Last Supper.
“Atas sebab menghormati sensitiviti semua pihak, saya sendiri yang buat keputusan untuk ‘turunkan’ MV itu tanpa menunggu arahan sesiapa,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media pelancaran Lala Raya di Bangsar, semalam.
Tambah Agy, versi baharu lagu tersebut akan diterbitkan semula selepas melalui proses suntingan yang ketat bagi memastikan elemen-elemen yang mengundang salah faham dibuang sepenuhnya.
“Dua babak utama iaitu di meja makan dan babak saya diusung telah pun kita ‘potong’.
“Saya harap versi suntingan baharu ini lebih tenang dan dapat diterima baik oleh peminat tanpa sebarang prejudis lagi,” katanya lagi.
Menepis dakwaan kononnya dia sengaja mencipta kontroversi untuk meraih tontonan seperti yang pernah dilakukan oleh penyanyi Mimi Fly tahun lalu, Agy menegaskan bahawa apa yang berlaku hanyalah satu kebetulan yang malang.
Agy yang juga pempengaruh media sosial itu juga sedar jumlah tanda ‘dislike’ pada MV tersebut jauh mengatasi jumlah ‘like’, namun dia menganggapnya sebagai satu proses pembelajaran yang matang dalam industri seni.
“Ramai tuduh saya buat gimik semata-mata nak tiru apa yang Mimi lalui sebelum ini.
“Hakikatnya, ini semua kebetulan. Saya tak perlu gimik sebegitu untuk dikenali.
“Mengenai jumlah ‘dislike’, itu hak penonton. Saya terima dengan hati terbuka dan anggap ini pengajaran untuk memahami apa yang audiens suka dan apa yang mereka tolak,” tegas Agy.
Selain isu visual, teknik vokal Agy yang menggunakan falsetto turut menjadi sasaran kritikan netizen sehingga ada yang menyamakan suaranya dengan “bunyi hon lori”.
Walau bagaimanapun, Agy tetap teguh dengan pilihan artistiknya.
“Lagu ini dinaikkan satu ‘key’ dan saya memang sengaja menggunakan teknik falsetto.
“Mungkin bunyi itu asing bagi sesetengah orang, tapi itulah eksperimen seni saya.
“Kalau mahu kecam suara atau gaya saya, silakan. Saya sudah biasa.
“Cuma satu permintaan saya, tolong jangan serang atau babitkan keluarga dan rakan-rakan saya. Kecam saya seorang sudah memadai,” luahnya.
Mengakhiri bicara, Agy memaklumkan dia bakal berehat seketika daripada dunia glamor untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah di bulan Ramadan selepas berdepan tekanan hebat daripada pelbagai penjuru.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

