AKTIVIS kemanusiaan dan pempengaruh media sosial, Farah Lee, berkongsi keadaan detik mencemaskan selepas terkandas di Syria susulan ketegangan konflik antara Iran dan Israel yang mengakibatkan ruang udara di rantau tersebut ditutup.
Farah, atau nama sebenarnya Nur Farahin Romli, 37, berkongsi situasi terkini di sana melalui hantaran video di media sosialnya yang memaparkan bunyi letupan kuat serta gegaran yang dirasai di lokasinya berada.
Menurut Farah, keadaan menjadi agak kritikal apabila serangan tersebut mula memberi kesan langsung kepada jadual perjalanan pulang pasukannya ke tanah air.
“Tadi ada bunyi bom. Kira-kira 15 minit sebelumnya, bunyi letupan lebih kuat sehingga kami dapat rasa gegarannya.
“Kami juga dapat tahu yang flight telah dibatalkan. Penerbangan ke Istanbul dan dari Istanbul ke Kuala Lumpur pun belum tentu macam mana keadaannya.
“Tapi insya-Allah semuanya okey. Kami di sini selamat sahaja, tak ada apa-apa.
“Cuma kami terkandas sebab ruang udara ditutup. Itu sahaja. Kami di sini baik-baik sahaja,” katanya.
Meskipun berada dalam zon yang berisiko, Farah mengesahkan bahawa dia dan pasukannya kini dalam keadaan selamat.
Namun, Farah mengakui masih tidak tahu mengenai tarikh kepulangan mereka memandangkan ruang udara ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.
“Syria setakat ini tidak terjejas. Jadi doakan supaya perkara ini tidak berlarutan dan kami dapat balik beraya di Malaysia.
“Kami semua okey di sini, tidak ada masalah. Cuma ada gegeran dan bunyi bom sahaja. Alhamdulillah.
“Kami hanya mampu berserah dan berdoa agar konflik ini tidak berlarutan supaya urusan penerbangan kami dapat diteruskan semula,” luahnya.
Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Farah turut sempat merakam suasana latar belakang yang menunjukkan realiti ketegangan di kawasan tersebut.
Dia mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia agar keadaan kembali stabil bagi membolehkan mereka pulang menyambut Aidilfitri di tanah air.
“Saya tidak pasti bila dapat pulang. Namun, ‘HasbiAllah wa ni’mal wakil’ (Cukuplah Allah menjadi penolong kami).
“Doakan supaya serangan-serangan ini tidak berlanjutan agar penerbangan dapat diteruskan dan kami dapat pulang ke Malaysia dengan selamat,” luahnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

