SEJAK kehadiran puteri sulung yang diberi nama Khalisa Insyirah pada 6 November lalu, penyanyi Azmi Saat akui kehidupannya bersama isteri berubah 190 darjah.
Azmi atau Khairul Azmi Mohd Saat,36, bersyukur kerana cahaya matanya itu tidak banyak ragam dan mudah diuruskan.
Biar pun awalnya Azmi dan isteri, Nazira Muhammad yang kedua-duanya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan mengakui timbul rasa bimbang kerana tidak mempunyai pengalaman menguruskan anak kecil lebih-lebih lagi dengan kekurangan diri.
“Alhamdulillah kakak ipar saya dari Terengganu datang ke Kuala Lumpur untuk jagakan isteri selama sebulan sepanjang tempoh berpantang.
“Kami banyak belajar benda baru dengan kakak ipar tentang menguruskan anak. Alhamdulillah jugalah mungkin rezeki Allah nak beri pada kami sebab anak saya sangat mudah dijaga.
“Kalau tak dibedung pun tak apa, anak akan tidur. Kalau menangis pun sebab lapar nak minum susu dan kena tukar lampin.
“Bila jaga budak kecil ni memang kita tak dapat nak agak apa yang dia nak ditambah pula saya dan isteri tak nampak. Bila dah tukar pampers dan bagi minum susu, anak masih menangis lagi…itu yang kadang-kadang macam agak risau sedikit,” katanya kepada URTV.

Berkongsi pengalaman menguruskan bayi kecil, kata Azmi biarpun pada awalnya dia berasa kekok memandangkan selama 12 tahun tidak pernah memikirkan akan kehadiran cahaya mata dalam keluarga kecilnya namun dia akui ia adalah anugerah terindah daripada Tuhan.
“Perubahan yang agak besar sejak kehadiran anak perempuan. Saya dan isteri pula dah 12 tahun hidup bersama tanpa memikirkan anak. Kalau dulu bila balik rumah sebelum nak tidur tu boleh tengok telefon bimbit, berbual dengan isteri tapi sekarang ni banyak kerja nak kena baut.
“Isteri saya lahirkan anak secara pembedahan…hari kelima dia sudah mampu uruskan diri sendiri dan anak. Jadi di sebelah siang, isteri akan jaga anak. Saya pula akan ambil alih tugas jaga anak selepas pukul 12 tengah malam. Kalau anak tak boleh tidur malam, sayalah yang akan dodoikan sehingga dia tidur.
“Kebiasaannya anak akan berjaga sekitar satu ke dua jam pada sebelah malam. Secara tak langsung waktu tidur saya pun sudah bertukar jugalah sebab berjaga malam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi yang juga vokalis kumpulan Caliph Busker tetap bersyukur kerana sehingga ke hari ini masih lagi diberikan rezeki untuk terus membuat persembahan di mana-mana lokasi yang ditawarkan kepada mereka.
Bagaimanapun, sejak kehadiran Khalis Insyirah, Azmi seboleh mungkin akan pulang ke rumah kerana enggan meninggalkan anak dan isterinya keseorangan.
“Disebabkan kami tak nampak jadi semua hal anak kami kena buat sama-sama. Walaupun kalau di sebelah siang isteri boleh uruskan anak seorang diri.
“Cuma yang merisaukan saya ialah pada sebelah malam sekiranya saya berada di luar kawasan. Rezeki itu satu hal tapi harapnya kalau dapat tawaran persembahan tu tidaklah terlalu jauh yang membolehkan saya balik hari saja.
“Tapi isteri ada kata, kalau ada kerja yang menuntut saya kena keluar kawasan berhari-hari, dia suruh ambil sajalah sebab itu rezeki anak. Katanya, Insya-Allah dia boleh uruskan perlahan-lahan,” kongsin Azmi lebih lanjut.
Dalam perkembangan lain, Azmi juga antara salah seorang selebriti yang turut menyatakan sokongannya kepada penduduk Gaza di Palestin.
Disebabkan itu, Azmi dan ahli kumpulan Caliph Buskers tidak pernah menolak sekiranya diundang untuk bersolidariti mengenai isu rakyat Palestin.
“Caliph Buskers sama seperti orang lain yang prihatin dengan nasib Palestin. Kami berikan apa yang termampu termasuklah menyertai apa sahaja acara yang menunjukkan solidariti kami kepada mangsa kekejaman rejim zionis Israel.
“Kita akan cuba penuhi tawaran penganjur. Saya ni tak pandai menulis jadi kebiasaannya saya akan share tentang Palestin di media sosial tentang perjuangan mereka.
“Secara tak lansung perkongsian saya itu dapat disebar luas kepada orang lain untuk sama-sama menunjukkan sokongan kepada saudara Islam kita di negara bergolak tersebut,” jelasnya.
Untuk rekod Azmi dan Nazira Muhammad bernikah pada 2011. Pada 27 September 2011, pasangan ini dikurniakan cahaya mata lelaki yang diberi nama Khairul Afnan.
Namun, selepas tiga hari dilahirkan, bayi tersebut meninggal dunia disebabkan kegagalan fungsi otak.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

