KIRA-KIRA 85 peratus pengguna domestik bekalan elektrik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, perkembangan itu sekali gus memberikan kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah.
Beliau turut memberi jaminan bahawa krisis di Asia Barat tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara buat masa ini.
Pada masa ini, Fadillah berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt per jam (kWj) sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.
Berdasarkan perkembangan semasa, kata beliau, kadar Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diunjurkan kekal dalam keadaan rebat sehingga April 2026.
Menurut Fadillah, sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi untuk berubah pada bulan-bulan berikutnya.
“Berhubung tarif elektrik, melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari tahun 2025 hingga 2027, kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.
“Sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme AFA pada setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan telah menampung sebanyak RM2.506 bilion sejak Julai tahun lalu.
Katanya, jumlah tersebut disalurkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga.
Beliau memberitahu, kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan melampau kepada kos bahan api.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara dengan keupayaan ekonomi pengguna agar tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah.
“Sebagai langkah kebersamaan dalam mendepani situasi semasa, pengguna digalakkan untuk terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.
“Amalan jimat elektrik bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah ia merupakan sumbangan besar rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

