KERAJAAN Persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek berkaitan air dengan nilai berjumlah RM3.1 bilion dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Ketiga Belas di Melaka setakat 6 April tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek itu bukan sahaja melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), tetapi turut merangkumi loji rawatan, proses kumbahan dan semua sektor air yang berada di Melaka.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka, projek-projek itu akan dilaksanakan sebaik mungkin demi manfaat rakyat.

GAMBAR: Abd Razak Aid
“Memang ada cabaran setiap kali melaksanakan projek, sebab itu kita bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa bertindak untuk memastikan pelaksanaan lebih tersusun dan berkesan.
“Hal ini bagi memastikan apabila timbul sebarang masalah, kita dapat menyelesaikannya secepat mungkin.
“Ia juga untuk memastikan projek-projek yang ada dapat disiapkan dalam tempoh mengikut kualiti dan bajet yang kita sediakan,” katanya kepada UtusanTV.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 peringkat kebangsaan di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Objektif sambutan HAS 2026
Mengulas mengenai sambutan HAS 2026, Fadillah berkata, program itu diadakan pada setiap tahun sejak penetapan United Nations Conference on Environment and Development (UNCED) pada 1992.
Katanya, ia bertujuan untuk memberi kesedaran dan penglibatan semua pemegang taruh termasuk masyarakat mengenai peri pentingnya menjaga air.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Jelas beliau, Dasar Air Negara bukan sahaja tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi melibatkan keseluruhan sektor masyarakat seperti kerajaan negeri, pihak utiliti, pihak syarikat, industri, pihak akademia dan termasuk individu untuk menjaga kemampanan industri air.
“Sebab itu tema yang kita bawa pada tahun ini ialah ‘Air Milik Semua’. Mesej itu jelas. Kalau kita tidak jaga air, kita akan kehilangan air.
“Jadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga air dan akhirnya semua mendapat bekalan air secara adil dan saksama,” katanya.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Risiko ‘bangkrap air’
Sementara itu, Fadillah berkata, Malaysia belum sampai ke tahap yang dikatakan negara ‘bangkrap air’.
Tetapi, tegas beliau, isu itu tidak boleh dipandang enteng kerana apabila air tercemar, ia tidak lagi boleh diminum.
Jelas beliau, kos untuk merawat air yang tercemar adalah tinggi.
“Sebab itu kita kena jaga sumber air, tempat tadahan, sungai kerana apabila tidak tercemar, kos rawatan air tidak menjadi mahal, akhirnya dapat disampaikan kepada rakyat dan industri dengan kadar yang mampu dibiayai oleh pihak-pihak ini.

GAMBAR: Abd Razak Aid
“Maka, perniagaan akan menjadi lebih kompetitif, rakyat mendapat air yang bersih dan selamat. Air merupakan nadi kehidupan. Individu bergantung dengan air. Perniagaan juga bergantung dengan air,” katanya.
Fadillah berkata, cabaran air juga sedang dirasai ketika ini seperti kemarau yang panjang selain musim tengkujuh yang menyebabkan banjir.
Katanya, apabila banjir, ia akan menyebabkan hakisan seterusnya mencemarkan sumber air.
Menurut Fadillah, perkara itu perlu dijaga dengan sebaik mungkin dan PETRA berjaya menguruskan dengan sebaiknya ketika ini.

GAMBAR: Abd Razak Aid

GAMBAR: Abd Razak Aid

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

