Gayong 2: Pertarungan maruah Beto Kusyairy menentang sistem polis British yang korup

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELEPAS mencetuskan fenomena menerusi naskhah pertama tahun lalu, SOL Pictures Sdn. Bhd. kini kembali menggegarkan industri perfileman tanah air dengan sekuel yang lebih berani, Gayong 2.

Naskhah kali ini menjanjikan skala produksi yang lebih kolosal, menyelami fasa hidup pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) yang jarang diceritakan kepada umum.

Di bawah arahan pengarah berkaliber, Faisal Ishak, filem ini tidak lagi sekadar berkisar di gelanggang silat, sebaliknya membawa penonton ke zaman pasca Perang Dunia Kedua di Singapura, era di mana ADMAR berkhidmat sebagai pegawai CID dalam pasukan polis British.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip menyifatkan Gayong 2 sebagai sebuah naskhah yang lebih matang dan ‘gelap’.

Ia memaparkan dilema ADMAR dalam membanteras jenayah kongsi gelap dan rasuah yang berselindung di sebalik sistem perundangan British yang tempang.

“Karya ini adalah refleksi kepada prinsip teguh dan pilihan hidup Datuk Meor Abdul Rahman yang diterjemahkan ke dalam bentuk sinematik yang dramatik.

“Ini bukan sebuah dokumentari sejarah yang kaku, tetapi sebuah penceritaan tentang pertembungan kuasa dan tekanan jiwa dalam dunia realiti yang penuh dengan pengkhianatan,” katanya.

Menurutnya lagi, fasa kehidupan ADMAR sebagai penentang kejahatan dari dalam sistem adalah satu sejarah yang sangat signifikan untuk diangkat ke layar perak.

“Kami mahu menonjolkan bahawa perjuangannya lebih luas daripada sekadar seni mempertahankan diri.

“Gayong 2 menelusuri bagaimana prinsip seseorang itu diuji secara ekstrem apabila kebenaran yang diperjuangkan mula menjadi ancaman kepada keselamatan diri dan keluarga,” tambahnya.

Kekuatan Gayong 2 turut bersandar kepada barisan pelakon berprestij. Beto Kusyairy kekal menerajui watak Meor, disokong oleh pelakon berkaliber seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, Hanna Aqeela, Fauzie Laily dan Rabbit Chen.

Menambah seri, naskhah epik Melayu ini turut menampilkan penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim, bersama barisan pelakon antarabangsa dan tempatan seperti Bobby Tonelli dan Ayez Shaukat.

Faisal yang berjaya menghidupkan roh persilatan dalam filem pertama, kini mahu penonton melihat ‘harga’ yang perlu dibayar demi sebuah maruah.

Menjalankan penggambaran sepenuhnya di Ipoh, Perak pada penghujung 2024, dia meletakkan harapan tinggi agar emosi sarat dalam filem ini sampai ke lubuk hati penonton.

“Jika naskhah pertama adalah pengenalan kepada dunia persilatan, sekuel ini adalah tentang identiti dan harga diri.

“Ia bukan sekadar filem aksi kosong; ia adalah naratif tentang seorang lelaki yang tersepit antara tanggungjawab pada lencana polis dan keselamatan orang tersayang.

“Saya berharap penonton tidak hanya terhibur dengan aksi mantap, tetapi pulang dengan rasa bangga terhadap akar budaya serta berfikir tentang prinsip hidup yang mereka pegang,” jelasnya.

Saksikan kebangkitan sang pendekar dalam seragam polis ini apabila Gayong 2 mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 April depan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This